Ketua Pembangkang yang juga Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah mempersoalkan adakah perbahasan yang dijalankan di Dewan Rakyat berhubung Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) diundi mengikut kehendak eksekutif.
Katanya, ini adalah kerana syarat perjanjian ini sudah pun ditentukan dan dipersetujui oleh cabang eksekutif tanpa penglibatan dewan sebelum ini.
“TPPA adalah perjanjian yang sudah diukir atas batu tidak boleh diubah. Ini adalah perjanjian ‘fait accompli.
“Apakah Dewan hanya perlu membahas usul dan tanpa ketetapan hak ratifikasi maka rakyat boleh menjangka is tetap akan ditandatangani walaupun jika dewan menolak usul ini pada Februari 2016,” katanya.
Wan Azizah juga mempersoakan kenapa perjanjian TPPA ini mahu ditandatangani dengan segera dan dilaksaksanakan.
Beliau turut menegaskan, pembangkang tidak menolak perdagangan dengan mana-mana negara kecuali Israel namun mereka tidak boleh menerima sebarang bentuk ketamakan dan kerakusan oleh mana-mana pihak dan negara.
“Malah kami menyokong negara harus melebarkan jaringan perdagangan keseluruhan pelusuk dunia dalam konteks globalisasi dan pasaran terbuka.
“Namun kita tidak boleh menerima sebarang bentuk pemerasan, kerakusan, ketamakan, penindasan dan kezaliman oleh mana-mana pihak dan negara sama ada dalam soal perdagangan baik domestik atau antarabangsa.
“Dan juga soal pengurusan dana awam, urus tadbir, pengadilan hokum dan pengagihan ekonomi negara dan bumi ini,” katanya.
Oleh itu, beliau mencabar Ketua Whip Barisan Nasional mengeluarkan arahan supaya wakil rakyat mereka dibenarkan mengundi mengikut kata hati dan undi secara rahsia.
“Jika perjanjian TPPA dirunding secara rahsia selama ini sudah tentu usul ini juga boleh dibuat secara rahsia juga bukan?,” katanya yang
juga ahli parlimen permatang pauh.