Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Melaka memandang berat kejadian kemalangan di sekolah.
Dalam kejadian Isnin lalu mangsa Raja Nur Najjwa Ariana Raja Mohamad Shahrunizam yang merupakan murid Sekolah Rendah Agama Jaim Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai berkenaan dipercayai terjatuh ke dalam satu daripada empat lubang najis sedalam 3.7 meter ketika bermain bersama beberapa rakannya semasa waktu rehat kira-kira jam 4.45 petang, Isnin lalu.
Pengarah Komunikasi dan Media Amanah Melaka Mohd Sofi Abdul Wahab berkata pihak sekolah di seluruh negeri wajar mengambil ikhtibar akan kejadian tersebut dan mengambil langkah-langkah perlu bagi mengelakkannya pada masa depan.
“Amanah Melaka berharap pihak sekolah lebih berhati-hati dalam mengawal kesalamatan pelajar. Ini kerana di kawasan sekolah murid-murid juga terdedah kepada kemalangan.
“Di samping itu pihak terbabit yang menjaga lubang kumbahan itu juga mestilah sentiasa memastikan lubang itu tertutup rapat dan tidak mudah terbuka. Malah penutupnya mestilah tahan dan tidak pecah jika ada orang yang naik ke atasnya
“Pihak berkenaan mesti sentiasa mengadakan lawatan untuk memeriksa dan memastikan lubang kumbahan tersebut sentiasa di kawal dan penutupnya mestilah dalam keadaan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau, Amanah berpendapat kawasan lubang tersebut wajar dipagar dan sentiasa dikunci supaya orang luar yang tidak berkenaan tidak boleh masuk ke kawasan lubang kumbahan.
Sehubungan itu, katanya, Amanah Melaka menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah Raja Nur Najjwa Ariana Raja Mohamad Shahrunizam yang meninggal dunia akibat terjatuh dalam lubang kumbahan najis di kawasan Sekolah Rendah Agama JAIM Parit Penghulu Benteng, Sungai Rambai
“AMANAH mengharapkan keluarga murid tersebut bersabar dengan kejadian yang sungguh tragis ini. Kecuaian seperti ini tidak sepatutnya berlaku jika semua pihak sentiasa mengambil berat aspek keselamatan,” tambah Sofi.