DAP hari ini mencadangkan autonomi universiti dikembalikan sebagai penyelesaian kepada penamatan kontrak 156 profesor di universiti awam seperti dilaporkan media semalam.
Jurucakap Parlimen DAP untuk Pendidikan Sains dan Teknologi Zairil Khir Johari berkata, kegagalan pentadbiran negara menguruskan kewangan tidak seharusnya menjejaskan institusi pendidikan.
“Seharusnya, keputusan melantik atau menamatkan perkhidmatan kakitangan akademik dibuat lembaga universiti berdasarkan pertimbangan kepentingan ilmu semata-mata, dan bukannya eksekutif kerajaan berdasarkan keputusan politik atau kegagalan kerajaan untuk mengurus kewangan negara.
“Kuasa autonomi universiti, khususnya dalam hal ehwal akademik, yang disekat melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) serta akujanji harus dipulihkan dengan segera.
“Pada masa sama, piagam universiti seharusnya diwujudkan sebagai garis panduan mentadbir keperluan akademik termasuk pertambahan atau pengurangan kakitangan akademik serta urusan disiplin,” kata ahli Parlimen Bukit Bendera itu dalam kenyataannya hari ini.
Media melaporkan semalam seramai 156 atau 33% daripada 507 profesor berstatus kontrak berusia 61 hingga 70 tahun di universiti awam tidak dilanjutkan perkhidmatan mereka kesan daripada pengecilan bajet di institusi berkenaan.
Zairil berkata, pelantikan dan penamatan kontrak pensyarah sewajarnya diletakkan di bawah satu suruhanjaya berbeza daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, yang dinamakan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan Tinggi yang diyakini dapat menyelesaikan masalah struktur dalam pendidikan tinggi negara.
Katanya, pada masa sama rancangan mengembalikan autonomi universiti sebenarnya sudah terkandung dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara 2007-2020 (PSPTN).
“Kita kini berada dalam fasa ke-4 PSPTN, namun malangnya, cadangan penyerahan kuasa autonomi universiti secara beransur-ansur bukan saja tidak berlaku pada kadar ditetapkan, malah pemberhentian 156 profesor ini jelas membuktikan campur tangan eksekutif dalam pentadbiran akademik universiti semakin terserlah,” katanya.
Semalam akhbar Kosmo melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Raduan Che Rose sebagai berkata, sumbangan profesor kontrak dalam bidang pendidikan dan penyelidikan di universiti sepatutnya dipertimbangkan dan bukannya terus “dibuang”.
Katanya, mengikut profil MPN, lebih separuh profesor di negara ini kini berumur dalam lingkungan 55 tahun dan melihat pada usia itu mereka hanya mempunyai 5 tahun untuk berkhidmat dan menyumbang kepakaran masing-masing kepada generasi baharu.