1 April 2016 adalah satu tarikh ngeri bagi warga marhaen di negara ini kerana ulang tahun ini menandakan sudah setahun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan oleh kerajaan BN.
Tinjauan Suara pakatan daily ke atas warga biasa di Kuala Lumpur mendapati rakyat tertekan dengan peningkatan kos hidup sejak cukai GST berkuat kuasa.
Hassan, seorang pemandu teksi berumur 68 tahun berkata GST menyebabkan beliau dan keluarganya putus harap ke atas pemerintahan negara. Katanya, kerajaan tidak lagi mempedulikan nasib orang miskin dan pekerja biasa. Mereka hanya inginkan wang kutipan cukai untuk dibelanjakan membina projek-projek membazir.
“GST membebankan, meletihkan dan mengecewakan saku orang miskin. Ia patut dihapuskan dengan serta-merta memandangkan ekonomi negara semakin lembab kerana seluruh dunia sedang mengalami kegawatan ekonomi,” katnya dalam nada kecewa.
Beliau berjanji akan menghadiri himpunan bantah GST yang dianjurkan Pakatan Harapan pada 2 April ini di Kuala Lumpur.
Hassan berharap ramai rakyat akan menghadiri bantahan tersebut untuk menunjukkan kepada kerajaan rakyat telah muak dengan polisi yang menzalimi mereka.
“Rakyat Malaysia sudah lama ‘tidur dan berlagak seperti tidak tahu apa-apa’ walau pun GST bagaikan ‘digigit sampai tulang’. Tiba masa kita perlu protes,” katanya lagi.
Seorang lagi pemandu teksi, Ah Wah, 42 tahun menggesa rakan-rakannya menghadiri himpunan anti GST untuk memberi mesej kepada kerajaan bahawa cukai itu perlu dihapuskan kerana rakyat tidak mampu lagi meneruskan kehidupan dalam keadaan kekurangan wang perbelanjaan.
“Kerajaan mesti prihatinlah. Mengapa dan kenapa kerajaan tidak mahu mendengar rayuan rakyat?” keluhnya.