Seminggu selepas Husam Musa dipecat Pas tidak sama dengan 20 hari pasca Anwar Ibrahim dipecat daripada Umno pada September 1998 dahulu.
Husam dipecat pada 6 Mei lalu. Dalam seminggu beliau hanya dilaporkan media membuat dua pertemuan dengan para penyokong. Satu berucap pada Mesyuarat Agung Pas Kubang Kerian pada 7 Mei dan sekali lagi pada 13 Mei dalam majlis makan malam Selamatkan Malaysia anjuran Amanah Pasir Puteh.
Biarpun kes Husam dan Anwar hampir sama dan ketokohan beliau dalam Pas hampir menyerupai Anwar dalam Umno tetapi langkah Husam tidak sederas Anwar. Husam memilih untuk berhati-hati. Sebaliknya Anwar amat cemerlang memanfaatkan ‘suhu panas’ pemecatannya.
Siri jelajah reformasi
Sebaik sahaja dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan dilucutkan keahlian Umno pada 2 September, Anwar melancarkan gerakan reformasi. Beliau menganjurkan ceramah di rumahnya di Bukit Damansara.
Pada 5 September, Anwar ke kawasan parlimennya di Permatang Pauh dan mengumumkan perisytiharan Permatang Pauh untuk merobah sistem politik negara yang dibelenggu kronisme dan nepotisme. Pulang semula ke Kuala Lumpur selepas 8 September, beliau memulakan siri jelajah ke seluruh negara.
Anwar singgah di pekan dan bandar besar seperti Kuala Selangor, Seremban, Johor Baharu, Kuantan, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan kembali semula ke Kuala Lumpur pada 19 September. Siri ceramah kebangkitan itu diteruskan dengan demonstrasi di Masjid Negara dan seterusnya perhimpunan 100,000 rakyat di Dataran Merdeka pada 20 September 1998.
Walaupun Anwar ditahan ISA namun kebangkitan tiga minggu itu mampu menyedarkan rakyat dan melorongkan sokongan kepada Parti Keadilan Nasional yang kemudiannya membuat kejutan memenangi beberapa kerusi pada PRU 1999.
Surat rasmi pemecatan
Sewajarnya Husam mencontohi gerakan Anwar. Alasan belum menerima surat rasmi pemecatan daripada Pas tidak boleh diterima. Anwar pun tidak menunggu Mahathir menyerahkan surat pemecatan kepadanya. Pengumuman rasmi di media sudah memadai.
Suhu panas pemecatan amat penting untuk menjayakan siri jelajah. Ramai ahli Umno menolak menyokong rejim Mahathir apabila Anwar menerangkan sebab sebenar beliau dipecat.
Husam wajar menggunakan kesempatan dalam sebulan ini untuk menerangkan kepada ahli Pas bahawa beliau dipecat tanpa dinyatakan kesalahan dan dipanggil membela diri.
Husam telah menulis pelbagai kenyataan media yang mempersoalkan hubungan Pas dan Umno yang semakin akrab sejak kebelakangan ini. Malah beliau tegar menerangkan dengan terperinci peri hal pegawai Menteri Persekutuan yang berjaya mempengaruhi Pas agar ‘terburu-buru’ membawa Hudud ke Dewan Rakyat melalui Bil Persendirian pada sesi Mac 2015 sehingga menghancurkan Pakatan Rakyat.
Selamatkan ahli Pas
Husam perlu menerangkan perkara itu kepada ahli Pas. Parti Islam itu kebelakangan ini semakin memesongkan pemikiran ahlinya agar anti Pakatan Harapan dan berbaik-baik dengan Umno atas dasar ‘Pas menasihati Umno’.
Hanya Husam yang mempunyai autoriti dan mengetahui apakah yang berlaku di Kelantan pada 2015 sehingga Pas termakan pujukan Umno. Husam juga seperti Anwar dipercayai oleh ahli Pas setiap butir pendedahannya.
Sekiranya tidak dan Husam membiarkan suhu pemecatannya sejuk maka ceramah beliau tidak akan menarik minat ahli Pas lagi. Ahli akan terus diperdaya pemimpin yang berkempen ke seluruh negara menyeru agar mereka tidak lagi membeci Umno sebaliknya DAP adalah musuh nombor satu parti itu.
Perjuangan Tok Guru Nik Aziz yang menentang asabiyah Umno, mengutamakan Melayu lebih daripada Islam akan sia-sia. Kini, Tuan Guru Hj Hadi Awang bersama kumpulan pemikir Pas bersetuju untuk mengutamakan Melayu dalam semua perkara.
Atas dasar Melayu sama Melayu Pas melarang ahlinya memusuhi Umno tetapi menyarankan mereka menjadi penasihat. Adakah ahli faham definisi penasihat ialah menyetujui terlebih dahulu sesuatu perkara yang akan dinasihati?
Jika GST zalim maka penasihat hendaklah menasihatkan agar jangan terlalu zalim. Penasihat tidak boleh menasihatkan agar GST dimansuhkan. Jika cukai 6% kejam maka turunkanlah kepada 5.5% sahaja.
Adakah Pas bersetuju dengan dasar-dasar BN yang zalim dan hanya mahu kezaliman dikurangkan? Biar pun Pas tidak mengakuinya namun itulah hakikatnya apabila menjadi penasihat. Oleh itu, untuk apakah rakyat mengundi Pas untuk akhirnya mereka akan dipaksa bersetuju dengan dasar BN?
Penyelewengan terang-terangan
Tindakan Pas ternyata telah menyeleweng. Tidak ada hadis atau fatwa ulama yang membenarkan jemaah Islam bersekongkol dengan pemerintah zalim.
Sekarang masanya yang sesuai untuk Husam menggerakkan kempen memerangi dakyah songsang Pas. Beliau perlu mensegerakan perjuangan sebelum lebih banyak ahli Pas termakan hujah keliru dan semakin banyak anak muda, belia dan mahasiswa yang menentang BN menjadi ahli Pas dan akhirnya menyetujui dasar BN ketika parti sekular itu terus menerus menindas rakyat dengan pelbagai kekejaman.
Sekiranya Husam bertimbang-timbang dan malu alah maka masa depan politik beliau tidak akan ke mana-mana dan pengundi, terutama di Kelantan yang keliru akan terus menyokong Pas. Ceramah selepas susu panas reda hanya akan dihadiri 1,000 orang. Sebaliknya ketika masih panas akan mengembalikan nostalgia era reformasi, puluhan ribu pendengar.
Masa depan Pakatan Harapan tergantung pada karisma Husam ketika Anwar masih di penjara. Jadi Husam janganlah mensia-siakan peluang yang terbentang di depan mata. Sekiranya Husam berjaya menarik sokongan ahli Pas kepada Pakatan Harapan mengapa tidak pemimpin PH akan mengundinya menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia suatu hari nanti.