Pemimpin Pakatan Harapan menyokong penuh penubuhan parti baharu yang diumumkan oleh Dr Mahathir baru-baru ini.
Menurut Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Ir Khalid Samad, kewujudan parti baharu itu kelak akan menampung ahli-ahli Umno yang anti Najib tetapi tidak mahu menyertai parti pembangkang sedia ada.
“Saya ucapkan tahniah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad atas usaha penubuhan parti baru.
“Saya yakin ramai ahli dan penyokong Umno akan bersama beliau kerana masyarakat Melayu juga bencikan rasuah dan penyelewengan. Melalui parti baru ini, mereka boleh menerima pencerahan,” katanya.
Mengulas isu sama, pemimpin DAP M Manogaran bersetuju bahawa parti baharu akan memudahkan orang Melayu yang tidak selesa dengan Pakatan Harapan berjuang bersama-sama pembangkang.
“Penyokong BN yang tidak suka pada pimpinan hari ini tetapi tidak mahu menyertai Pakatan Harapan sekarang bolehlah menyertai parti baru Tun Dr. Mahathir.
“Kita dalam Pakatan patut mengadakan kerjasama dengan beliau demi menguatkan koalisi pakatan pembangkang,” katanya yang juga bekas ahli parlimen Teluk Intan.
Tinjauan Suara pakatan daily ke atas 10 orang ahli DAP juga memberi komen yang positif. Mereka berkata, sudah tiba masanya untuk Dr Mahathir mengorak langkah baru meraih sokongan dalam skala besar-besaran dan menyedarkan rakyat bahawa negara kita sudah terjerumus ke dalam gaung kegelapan di mana imej negara sudah terjejas teruk oleh pelbagai isu semasa.
Peter Gan, pemuda berusia 30 tahun yang juga pemilik kedai menjual barangan logam berkata penubuhan parti baharu adalah wajar bagi menguatkan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan BN yang semakin hilang kawalan dalam pentadbiran negara.
“Kini rakyat marhaen sedang dibebani oleh kos sara hidup yang semakin meningkat kerana kerajaan nampaknya sudah tidak mampu mengawal harga barangan asas seperti cili dan bawang. Sebagai contoh, harga bawang putih sekarang sudah melebihi RM14 sekilo,” keluhnya.