Oleh: Wira Rakyat
Tindakan beberapa pemimpin Umno semalam menafikan parti mereka terlibat menganjurkan tunjuk perasaan haram di pusat bandar Pulau Pinang pada hari Jumaat lalu sudah terlambat untuk mengelakkan kerajaan BN dilabel sebagai double standard. Kemunculan Ezam Mohd Nor tidak boleh dinafikan telah memalukan Umno yang sedang bermati-matian berkempen menindas tunjuk perasaan aman anjuran Bersih pada 9 Julai depan
Itulah harga yang mesti dibayar oleh Umno apabila mengambil hero-hero demo jalanan dari Pakatan Rakyat. Ezam dan sebelumnya Lokman Nor Adam biar pun bertukar parti tetapi jiwa mereka tetap resah jika tidak melakukan aksi. Sebagaimana mereka mengepalainya dalam PKR dahulu, begitu juga mereka bertindak dalam Umno. Dan katak-katak lompat ini pastinya ‘Tidak makan saman’ dengan arahan sesiapa pun. Akhirnya pemimpin Umno menanggung malu, semua propaganda buruk yang dilemparkan di televisyen dan akhbar mengutuk tunjuk perasaan Bersih terpalit ke muka mereka sendiri.
Suasana anarki
Umno-BN melalui tali barut serta baruanya mencanangkan tunjuk perasaan Bersih akan menyebabkan kesesakan lalu-lintas. Jalan terpaksa ditutup. Rakyat sukar bergerak sepanjang hari. Perniagaan rugi sehingga ratusan juta. Tidak ada orang awam akan mengunjungi kedai atau membeli-belah kerana takut dicederakan penunjuk perasaan.
Pelancong akan meninggalkan negara kerana tidak dapat bergambar di tempat-tempat menarik sekitar Kuala Lumpur. Industri pelancongan rugi teruk. Tidak ditolak juga kemungkinan berlaku huru-hara, kedai dirosakkan, dibakar, dipecah atau disamun.
Namun realitinya, Umnolah yang melakukan semua itu dalam seminggu lalu. Perhimpunan baju merah diketuai Lokman Nor Adam menyerbu di hadapan ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya. Perhimpunan baju merah seterusnya di Pulau Pinang disertai Ezam benar-benar mempraktikkan apa yang telah didedahkan oleh media.
Pada hari tunjuk perasaan haram itu berlaku trafik terhenti di tempat penyokong Umno berarak. Kedai-kedai sepanjang laluan peserta tunjuk perasaan menghentikan perniagaan seketika. Pelancong pula tidak dapat mengambil gambar berlatar belakangkan demonstran baju merah. Dan klimaks kepada demo Umno itu, dua wartawan akhbar Cina dikasari lalu membuat laporan polis.
Tepat, semua ciri-ciri tunjuk perasaan yang dicanangkan sebelum itu diikuti Umno. Ciri-ciri itu jugalah didakwa Berita Harian dan pihak polis sebagai anarki. Akibatnya, sesiapa sahaja yang memakai baju kuning ditangkap borong dibawah Akta Hasutan, Akta Darurat dan sebagainya.
Demo Bersih khayalan
Adakah tunjuk perasaan Bersih telah berlaku sehingga mewajarkan penangkapan?. Tunjuk perasaan Bersih masih di dalam khayalan polis, ilusi pemimpin BN dan imaginasi gila editor akhbar arus perdana. Tunjuk perasaan Bersih belum wujud. Tunjuk perasaan baju kuning masih tidak berlaku. Sebaliknya tunjuk perasaan Umno yang mengambil tempat. Jadi, rakyat bolehlah melihat bagaimana gilanya negara ini ditadbir Umno-BN.
Setelah lebih 120 orang ditangkap dengan momokan baju kuning ingin merampas kuasa melalui tunjuk perasaan jalanan tiba-tiba mereka mengambil keputusan memejamkan mata membenarkan penyokong Umno menunjuk perasaan. Polis tidak menahan, malah hanya memerhatikan sahaja. Waraskah pemerintah negara ini menahan orang berbaju kuning dengan tuduhan komunis sedangkan warna kuning itu warna diraja. Warna merah Umno lebih mirip kepada komunisme tetapi pemakai baju merah tidak ditahan walaupun terang-terangan melakukan kesalahan berdemo tanpa permit.
Sebagai rakyat yang waras kita perlu ingat setiap sesuatu itu hanya berlaku dengan izin Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa. Setelah berminggu-minggu Umno menabur fitnah dengan mengupah pelbagai NGO dan orang awam mengeluarkan kenyataan mengecam tunjuk perasaan baju kuning maka Tuhan memalukan Umno-BN dengan mencuit hati beberapa tokoh ‘Reformasi’ Umno untuk turun berdemo. Sekarang rakyat saksikanlah betapa hipokritnya pemimpin Umno-BN dalam menangani dua tunjuk perasaan itu. Secara terang di depan mata demo Umno dilindungi tetapi demo Bersih walaupun belum berlaku diperangi habis-habisan.
Maka dengan itu tuntutan Bersih untuk memurnikan demokrasi tidak syak lagi adalah tuntutan dari jiwa yang bersih dan minda yang waras. Mereka perlulah disokong. Jika Tuhan telah memalukan Umno kali ini maka tidak perlulah rakyat mengikuti mereka lagi. Tolaklah parti semberono itu dalam pilihanraya akan datang.
Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis, tidak semestinya mewakili pandangan suarapakatandaily