Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Salahuddin Ayub berkata, isu penggabungan parti itu dengan PKR tidak berbangkit sama sekali.
Sambil menzahirkan rasa terima kasih kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas cadangan serta idea penggabungan tersebut, Salahuddin berkata, pihaknya mengharapkan hubungan yang kukuh akan kekal seutuhnya.
“AMANAH tampil bagi mengisi posisi serta melanjutkan perjuangan lslam yang mengambil pendekatan inklusif dan progresif untuk bersama mensejahterakan rakyat dan dalam rangka kebangunan semula negara (nation-rebuilding).
“AMANAH bersama-sama rakan-rakan PKR dan DAP menubuhkan Pakatan Harapan (HARAPAN).
“Sekarang ini dengan kehadiran Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersama HARAPAN menjadikan peranan AMANAH dan semua parti-parti dalam HARAPAN dan BERSATU semakin penting dalam usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, ketika cadangan penggabungan parti ditolak mentah-mentah dua pemimpin PKR dan AMANAH, Azmin pula sebaliknya berkata, ia wajar dipertimbangkan.
Kata Azmin, ia perlu diteliti kerana melibatkan soal kedinamikan parti dan sesebuah pertubuhan yang demokratik perlu bersikap terbuka.
“Bagi saya kita tak boleh ambil sikap acuh tak acuh atau ketepikannya (langsung).
“Cadangan berkenaan boleh dibincangkan dan pertimbangkan tetapi bukanlah kerana ada perebutan kerusi,” kata menteri besar Selangor itu di Shah Alam.
Azmin juga dilaporkan berkata, setiap pihak diharap tidak mewarisi “cara pemikiran lama” kerana ia bukanlah “reformasi” yang diharapkan. M’kini