Kebangkitan masyarakat Orang Asli memprotes tindakan memusnahkan hutan secara rakus oleh pihak kapitalis perlu diberi penghargaan dan seluruh rakyat Malaysia terhutang budi kepada mereka.
Penasihat Amanah Kelantan, Datuk Husam Musa berkata Parti Amanah Negara (Amanah) memang berhasrat untuk memberi peluang kepada Orang Asli untuk menjadi calon dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Presiden Amanah Mohamad Sabu ketika berkunjung ke kampung Orang Asli di Gua Musang minggu lalu telah bersetuju dengan cadangan itu.
“Kita yakin telah sampai masanya masyarakat Orang Asli yang telah berusaha mempertahankan khazanah hutan kita diberi peluang bersuara,” katanya ketika berucap di majlis makan malam dana PRU14 anjuran pemuda Amanah negeri Kelantan malam tadi.
Rakyat Malaysia kata Husam harus merasa terhutang budi kepada Orang Asli yang sanggup berjuang untuk mempertahankan kelestarian alam sekitar yang amat penting kepada kehidupan.
“Mereka sanggup mengambil risiko berhadapan kerakusan kapitalis yang disokong pihak pemerintah yang menindas.
“Mereka juga tidak terpengaruh dengan cubaan memberi sogokan,” katanya.
Menurutnya dalam peristiwa penangkapan di Gua Musang baru-baru ini, mereka menunjukkan solidariti luar biasa apabila pihak jabatan hutan membuat tangkapan.
“Semasa pihak berkuasa menyerang tempat mereka membuat blockade, tujuh orang telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam trak polis.
“Kawan-kawan mereka yang lain turut memanjat naik ke dalam trak menjadikan jumlah semuanya 47 orang,” katanya.
Peristiwa ini berlaku menurut Husam pada pukul 11 pagi di Pos Petei, mereka dibawa ke balai polis Gua Musang dan tiba di sana pada jam 6 petang.
“Apa yang menyedihkan mereka diletakkan dalam trak berbungkus kanvas dan tidak diberi makanan dan minuman sehingga jam 7 petang apabila penjaga lokap tiba untuk memasukkan mereka ke dalam lokap.
“Inikah dasar perikemanusiaan kita yang mengaku “Membangun Bersama Islam?” soal Husam.
Beliau berkata pengorbanan Orang Asli yang besar ini bukan sekadar untuk sesuap nasi mereka sahaja tetapi juga untuk menyelamatkan negara ini dari bencana besar akibat pencerobohan khazanah hutan kita yang begitu berharga.
“Sepatutnya kita semua perlu bangkit bersama-sama Orang Asli dengan memberi apa sahaja bantuan kerana kejayaan mereka adalah penyelamat seluruh rakyat,” katanya. Malaysia dateline