Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata pendirian Pas yang menyokong gerakan Reformasi hampir 20 tahun lalu telah menarik sokongan rakyat kepada gabungan parti pembangkang ketika itu.
Menurutnya, sikap kepimpinan Pas yang diterajui Allahyarham Fadzil Noor membolehkan parti pembangkang mencapai prestasi paling baik pada keputusan pilihan raya umum tahun 1999.
“Pada tahun 1999, saya lihat ‘attitude’ Pas di bawah (pimpinan) arwah Fadzil Noor, (pembangkang) mendapat sokongan selepas beliau (Fadzil Noor) menyokong Reformasi.
“Pembangkang pada waktu itu, Pas menyokong kami semua dan mendapat (sokongan) paling tinggi dalam pilihan raya umum.
“Itu komen saya. Eloklah kita bersama untuk menjatuhkan BN,” kata Ketua Pembangkang itu kepada pemberita di Parlimen semalam ketika ditanya tentang desakan beberapa Pas kawasan untuk memutuskan hubungan dengan PKR.
Fadzil Noor dikenali sebagai tokoh Pas yang strategis apabila mempelopori penubuhan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) pada 27 September 1998 hanya dalam tempoh seminggu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan.
Gerak kemudiannya menjadi perintis kepada Barisan Alternatif sekaligus mencatatkan Fadzil sebagai pengasas gabungan parti pembangkang menentang rejim Umno-BN.
Hasilnya, Pas berjaya mencapai kejayaan luar biasa pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 apabila menguasai 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) sekaligus kekal sebagai rekod keputusan PRU terbaik Pas.
Menjelang Muktamar Tahunan Pas ke-63 April ini, beberapa Pas Kawasan di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan melalui mesyuarat tahunan parti di kawasan masing-masing mahu parti mereka memutuskan kerjasama politik dengan PKR.
Pada masa sama, sejumlah Pas Kawasan di Selangor serta Dewan Muslimat negeri itu dilihat berang dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ekoran Twitter ‘lebai’.
Mereka melalui deretan kenyataan rasmi yang dikeluarkan turut mengungkit peranan Pas pada pilihan raya sebelum ini sehingga membawa kejayaan pembangkang menguasai kerajaan negeri Selangor selain secara terbuka menyerang PKR dengan antara lain menganggap jentera pilihan raya PKR sebagai lemah.
Walau bagaimanapun, status tahaluf siyasi antara Pas dan PKR hanya akan diumumkan dalam muktamar tahunan Pas di Kedah pada 28 April hingga 1 Mei depan. MD