Dakwaan Ketua Pemuda Bersatu (Armada) kononnya perwakilan Kongres Nasional PKR ke 12 Ahad lalu sengaja memalukan Pengerusi Bersatu Tun Mahathir adalah dangkal.
Aktivis Kempen Bebaskan Anwar Adrian Lim Chee berkata, tindakan perwakilan menjulang plakad Anwar PM ke-7 pada majlis yang dihadiri Dr Mahathir itu adalah tindakan biasa di kongres PKR, sama ada Dr Mahathir hadir atau tidak.
“Izinkan saya perbetul dua percanggahan fakta dalam kenyataan saudara Syed Saddiq. Dalam perenggan ke-8 beliau mendakwa Dr Mahathir “dipaksa atau diperangkap sokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri” selepas Dr Mahathir dan lain-lain menurunkan tandatangan petisyen #BebasAnwar.
“Hakikatnya, petisyen #BebasAnwar ditandatangani (Dr Mahathir) selepas insiden plakad. Ia berlaku sewaktu Dr Mahathir serta pemimpin Bersatu sedang keluar daripada Dewan Raja Muda Musa untuk jamuan pagi. Maka, tidak boleh Syed Saddiq memberi gambaran seolah-olah jasa baik Dr Mahathir dan pemimpin Bersatu menurunkan tandatangan #BebasAnwar dibalas dengan “serangan hendap” daripada perwakilan PKR
“Dalam perenggan ke-3, Syed Saddiq persoalkan sama ada pemimpin Pakatan Harapan “sibuk menuba racun kesumat atas perlakuan silam”.
“Hal ini tidak berbangkit kerana tiada mana-mana perwakilan atau pemimpin PKR “menyerang” atau menggunakan kisah lampau 1998 sebagai pembakar semangat sehingga menunjukkan seolah-olah PKR tidak menghormati kehadiran Dr Mahathir.
“Malah, kesemua pemimpin tertinggi PKR yang menyentuh kisah 1998 dalam ucapan penggulungan mereka menyambut baik kebersamaan Bersatu dalam perjuangan menumbangkan Najib/UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu Adrian berkata, pemuda Bersatu wajar menghadam penegasan Anwar bahawa beliau telah memaafkan Dr Mahathir dan perlunya membuka lembaran baharu dalam politik negara yang tidak boleh diputarbalikkan dan hanya berkisar sekitar tahun 1998.
“Apakah saudara Syed Saddiq berpendapat bahawa penyertaan Dr Mahathir dalam Pakatan Harapan harus dibalas dengan PKR “melupakan” kisah lampau?
“Anwar telah berkali-kali menyatakan bahawa Dr Mahathir telah dimaafkannya. Ini lembaran politik baru yang disambut baik majoriti rakyat Malaysia. Namun dalam masa yang sama, ‘forgiveness does not mean forgetting’. Kita sewajarnya mengambil perkara silam sebagai iktibar untuk perbaiki halatuju masa depan, bak pepatah Melayu- buang yang keruh, ambil yang jernih.
“Realitinya yang tidak menghormati, mengutuk dan menyerang Dr Mahathir rentetan Kongres PKR bukannya parti itu ataupun rakan-rakan dalam Pakatan Harapan.
“Yang tidak menghormati Dr Mahathir adalah kepimpinan Umno, antaranya Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan, Menteri Besar Perak Zambry Abdul Kadir, Ketua Puteri Umno Mas Ermieyati, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Ahli Majlis Tertinggi Umno Irmohizam Ibrahim, Ahli Majlis Tertinggi Umno Sohaimi Shahadan dan blogger-blogger serta cybertrooper-cybertrooper Samsung A9 tajaan Malaysian Official 1 (MO1).
“Saya sangat setuju dengan kenyataan Syed Saddiq bahawa kita harus terus mencari kesepakatan serta kurangkan pergeseran agar misi menumbangkan Najib Razak boleh direalisasikan.
“Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan ini mengajak Syed Saddiq serta pimpinan tertinggi Pakatan Harapan untuk mengetepikan perbezaan yang bakal menjadi penghalang kepada misi menumbangkan Najib/UMNO dalam PRU14.
“Kita perlu terus fokus kepada musuh utama kita, iaitu Najib/Umno dan berwaspada dengan segala tingkah laku yang bakal membolehkan Umno mengambil kesempatan memporakperandakan hubungan yang dijalin antara parti-parti Pakatan Harapan,” akhirinya