Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, tiga minggu terakhir menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 14, isu yang paling banyak diperkatakan rakyat ialah kemungkinan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan naik jika BN menang lagi, mengatasi isu perkauman, kononnya DAP akan menguasai Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab itu berkata, malah orang Melayu luar bandar juga amat tertekan dengan kenaikan kos sara hidup dan tidak lagi tertarik dengan isu perkauman melampau yang dibawa oleh BN.
“Kos sara hidup terlalu membebankan rakyat dan ini mengakibatkan BR1M ditambahkan sebanyak RM800 (janji manifesto BN).
“Sekarang desas-desus amat kuat bahawa kadar GST akan dinaikkan kalau BN menang PRU14. Bertentangan dengan itu, Pakatan pula akan menghapuskan GST, dan ini telah mendapat sambutan yang hebat daripada semua lapisan masyarakat.
“Ramai orang sekarang tidak lagi percaya tohmahan terhadap DAP kononnya parti ini anti-Melayu atau anti-Islam. Penduduk di kampung pun sedang sibuk bergelut dengan masalah kos sara hidup yang tinggi.
“Justeru, kali ini saya percaya Pakatan memang ada harapan yang cerah untuk menang pilihan raya umum. Insya Allah, keputusan memihak kepada kita selepas undi dikira,” kata beliau kepada Suara pakatan daily.
Kepada jentera Pakatan Harapan, Tengku Zulpuri mengingatkan agar mereka bekerja keras sedikit sahaja lagi terutama menyedarkan masyarakat luar bandar peri pentingnya perubahan kerajaan dalam PRU 14.
“Perjalanan masih jauh. Ada 19 hari lagi sebelum rakyat menentukan masa depan negara. Banyak gerak kerja yang perlu dilakukan. Semoga rakyat Malaysia mengecapi perubahan yang cemerlang pada awal pagi 10 Mei 2018 yang akan datang ini,” katanya yakin.