Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR melanjutkan sehingga esok proses mengira lebih 1,100 undi ragu melibatkan cabang-cabang di Johor yang mengundi pada Ahad lalu.
Timbalan Pengerusi JPP, Adzman Hedra berkata pimpinan lima cabang di Johor akan dipanggil ke ibu pejabat di Petaling Jaya esok untuk mengesahkan status pengundi sama ada mereka masih ahli parti.
“Kita sudah jalan 17 (cabang) dan kita ada baki lagi 5 cabang. Semua ketua cabang dan calon dipanggil datang ke ibu pejabat.
“Maka, undi pastinya akan berubah dan sama ada undi diterima atau tidak bergantung kepada kes,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
JPP membuat kiraan semula ke atas undi ragu sejak Isnin lalu.
Daripada 24 cabang yang mengundi pada Ahad, Azmin dilaporkan mendapat 5,852 undi berbanding 5,025 undi untuk pesaingnya bagi jawatan timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli.
Jumlah undi rasmi yang disahkan oleh JPP setakat ini ialah 4,503 undi untuk Azmin manakala 3,976 undi bagi Rafizi.
The Malaysian Insight difahamkan undi ragu yang dikira semula sekarang merujuk pada undi oleh individu yang tidak dapat disahkan keahliannya dalam PKR.
Menurut Adzman, JPP mengasingkan semua undi ragu dalam peti khas supaya tidak mengganggu proses pengundian pada hujung minggu lalu, serta bagi mengelak berulangnya kejadian tidak diingini seperti di Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini.
Katanya, senarai pengundi ragu itu disemak dengan data di ibu pejabat dan tidak dapat dibuat pada hari pengundian kerana memakan masa.
“Bukan tidak boleh buat (di tempat mengundi) tapi lambat kerana ambil masa. Kita dah cuba buat di Pulau Pinang tempoh hari.
“Jadi, kali ini kita proses di ibu pejabat dan tapis. Mana yang bukan ahli kita terus tolak undi. Kes silap nombor IC dalam senarai pun ada,” katanya lagi.
Sebelum ini, Adzman menjelaskan pengundi yang diragui perlu mengisi borang 11 dan undinya akan diasingkan untuk disahkan keahlian, katanya.
Kes sama juga berlaku di Pulau Pinang dan Kedah apabila terdapat pengundi yang dikesan bukan dari kalangan ahli sah, kes individu dipecat daripada parti dan kes nama tercicir dari senarai ahli.
Sehingga pusat pengundian di Johor ditutup pada petang Ahad, seramai 10,725 daripada 37,934 ahli PKR di negeri itu yang layak mengundi sudah mengundi.
Pemilihan PKR yang dijalan secara berperingkat mengikut negeri diteruskan hujung minggu ini, Jumaat di Kelantan dan Terengganu, dan disambung pada Sabtu di Pahang dan Ahad di Wilayah Persekutuan. – Mkini