Kerajaan BN dipersoal kerana hanya mampu memberi RM500 sahaja sempena hari raya aidilfitri ini. Sedangkan mereka berbangga pelaburan langsung asing masuk begitu banyak sepanjang 2012.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr. Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan kos penghidupan yang tinggi dan pelbagai cadangan daripada kesatuan sekerja untuk memberi nilai tambah kepada bonus tahun ini.
“Kami melihat pandangan awal daripada Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) yang telah melontarkan pandangan agar Kerajaan Persekutuan memberikan nilai tambahan kepada Bonus Hari Raya ini tidak kesampaian juga akhirnya.
“Persoalan yang bermain dipemikiran kami, adakah Kerajaan Persekutuan tidak mampu memberikan imbuhan yang lebih baik pada tahun ini berbanding perkara yang sama diberikan pada tahun lepas?” soalnya.
Kerajan mengumumkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan akan menerima bonus hari raya sebanyak RM500 atau setengah bulan gaji. Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan hampir RM2.2 Bilion bagi tujuan pemberian Bonus Hari Raya seperti yang sama diberikan pada tahun lepas.
“Melihat temubual Dato’ Sri Najib dengan Forbes Asia Magazine pada September 2011 di mana beliau mengatakan bahawa di Malaysia akan berlaku satu lagi pusingan Liberalisasi Ekonomi yang akan dibentangkan didalam Bajet 2012 menimbulkan persoalan isu ekonomi negara yang sebenarnya.
“Bagi menunjukkan tahap pelaburan luar yang masuk ke Malaysia pada tahun lepas juga, Dato’ Sri Najib telah mengumumkan bahawa untuk separuh pertama 2011, Malaysia telah menarik RM21.3 Bilion dalam jumlah Foreign Direct Investment (FDI). Adakah Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Dato’ Sri Najib masih tidak mampu menambah imbuhan Bonus Hari Raya berdasarkan fakta tersebut atau beliau ‘tidak berminat’ dengan kakitangan awam yang di bawah naungannya?
“Sedangkan dalam masa yang sama pelbagai skim baru diperkenalkan dengan Bilion Ringgit dilaburkan,” tambah Dr Raja Ahmad.
Justeru beliau meminta Najib mendahulukan kepentingan kakitangan awam daripada terus menjalankan pelbagai projek mega yang menelan kos tinggi. Tambahnya, Pakatan Rakyat berjanji untuk memberi kebajikan yang lebih baik kepada kakitangan awam sekiranya memerintah.