TEMERLOH: Menumbangkan BN adalah fokos utama parti-parti dalam Pakatan Rakyat PAS, PKR mahu pun DAP, justeru isu lain tidak perlu di perbesarkan, kata Pesuruhjaya PAS Pahang Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bagaimanapun, ahli parti berhak menyuarakan dan menyatakan pandangan mereka.
Menurutnya, beliau tidak terkejut dengan bantahan ahli dalam isu calon dan sebagaainya.
“Ahli berhak menyuarakan pandangan mereka, saya tidak terkejut dengan tindakan mereka kerana mereka telah bekerja selama lima tahun, Cuma apabila parti telah membuat keputusan mereka hendaklah akur,” kata beliau ketika mengulas bantahan daripada petugas pilihan raya PAS Bera yang menolak calon PKR yang bakal mewakili parlimen Bera.
Sebelum itu, kira-kira 50 orang ahli PAS Bera dari semua Unit Peti Undi (upu) dan jentera parlimen Bera membantah pengumuman Penasihat PKR, Anwar Ibrahim bahawa PKR akan bertanding di parlimen berkenaan.
Mereka mendakwa, parlimen Bera bukanlah kawasan bertindih yang tidak dimasukkan dalam perbincangan diantara PAS dan PKR kerana kawasan Bera adalah kawasan yang ditandingi oleh PAS sejak dahulu.
Malah, kawasan Bera juga disebut sebagai salah satu daripada 76 buah kerusi yang akan di tandingi PAS dalam pilihan raya umum ke-13.