TEMERLOH: Pakatan Rakyat Pahang mengecam dan menolak politik fitnah dan politik longkang (gutter politic) yang cuba dimainkan oleh BN dalam PRU-13 ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KeADILan Pahang, Ahmad Nizam Hamid berkata, tindakan BN itu membuktikan betapa terdesaknya mereka sehingga sanggup mengamalkan politik kotor yang tidak bertamadun serta bertentangan dengan nilai-nilai akhlak dan agama.
Menurut beliau, pada 23 April lalu, beliau menerima sepucuk surat yang mengandungi dukomen berunsur fitnah bertajuk ‘kisah benar lagi nyata’ serta booklet bertajuk ‘Angka Pok Nik’ dan ‘DAP Rasis’ yang diletakkan didalam peti surat rumahnya oleh individu yang tidak diketahui.
Selain itu terdapat juga sekeping nota bertulis tangan yang menyatakan dokumen berkenaan akan diedar dari rumah ke rumah oleh petugas wanita Umno khususnya yang menjaga G 10 dan peranan ini dimainkan oleh wanita Umno.
Menurut Ahmad Nizam, beliau yakin dokumen serta booklet berkenaan telah dihantar ke markas BN diseluruh negara serta parlimen Temerloh sebagai bahan kempen.
“Pakatan Rakyat mengecam politik perkauman yang cuba melaga-lagakan sesama Islam dan antara kaum. Ini menyerlahkan lagi citra sebenar pemimpin BN yang sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan hegemoni kekusaan mereka.
“Kami juga menuntut suruhanjaya pilihan raya (spr) memantau dan mengambil tindakan untuk menghentikan politik fitnah ini,” katanya.
Ahmad Nizam menyeru calon-calon BN khususnya di Temerloh supaya bersikap ‘gentleman’ tawadhuk dan tidak stoop too low semata mata untuk menang tanpa menghiraukan batasan agama manakala pengundi menolak sama sekali politik fitnah ini dengan memberi mandat kepada Pakatan Rakyat.
Turut hadir dalam sidang media ialah calon PAS Kuala Sementan, Syed Hamid Muhamad dan setiausaha KeADILan cabang Temerloh, Dr Yahya Abd Rahman.