Datuk Seri Najib Razak akan menghadapi masalah di 78 kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di seluruh negara dalam pilihan raya umum ke-13 kerana tindakannya mencantas ‘orang Muhyiddin’ dan ‘orang Mahathir’, kata calon KEADILAN Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.
Kata Johari, Najib tidak lagi berunding dan berkompromi dalam isu pemilihan calon BN bersama Timbalannya, Tan Seri Muhyiddin Yassin dan mentor politik yang menaikkannya, iaitu Dr Mahathir sendiri.
“78 orang yang menentang keputusan calon Najib adalah jumlah yang luar biasa. Kita tak pernah lihat sebelum ini calon Umno-BN hilang rasa hormat, tidak ada disiplin dan bertanding bebas.
“Najib gagal mengawal Umno. Kita tak perlulah sebut tentang parti komponen BN yang lain seperti MCA, MIC dan sebagainya,” seloroh Johari kepada Keadilandaily.
Johari bersetuju dengan pandangan bahawa tindakan Najib meletakkan Datuk Mukhriz di DUN N4 Ayer Hitam, sebagai cara untuk ‘mencantas’ pengaruh Dr Mahathir di Kedah secara khusus dan Umno secara keseluruhan.
Ini kerana DUN Ayer Hitam sukar dimenangi BN kerana merupakan kubu kuat parti Islam di wilayah utara negeri Kedah semenjak selepas kemerdekaan.
Tambah Johari, Najib yang ingin mendapatkan mandat sebagai Presiden Umno perlu ‘membunuh’ lawan politik di dalam partinya sendiri.
Justeru, pimpinan yang rapat dengan Muhyiddin seperti bekas Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim yang jelas bercita-cita untuk menjadi Ketua Wanita Umno perlu ditolak dari dicalonkan dalam PRU-13.
Selepas penamaan calon pada 20 April, 61 ahli Umno termasuk Kamilia dan bekas Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, Mohd Shariff Omar dipecat serta-merta kerana bertanding sebagai calon Bebas.
Pergeseran Karmiia dengan Shahrizat Jalil jelas kelihatan, malah dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia pada 1 April 2012, Kamilia secara terbuka menyeru Ketua Wanita itu melepaskan jawatan akibat kontroversi projek NFC.
Dalam pada itu, Johari berpandangan, tindakan Najib mencalonkan empat Setiausaha dari ‘Tingkat 4, Jabatan Perdana Menteri’ bertanding dalam PRU-13 membayangkan gerakannya untuk meneruskan cengkaman di Pejabat Perdana Menteri dan kerusi Presiden Umno.
“Najib tidak lagi yakin dengan struktur partinya sendiri (Umno). Dia terpaksa mendapatkan sokongan dari pegawainya di JPM. Ini juga bagi menghadapi pemilihan Umno tahun 2013,” kata Johari.
Keempat mereka ialah Datuk Mohd Fatmi Che Salleh, Setiausaha Politik (1) Perdana Menteri yang bertanding di Parlimen Kota Bharu dan Datuk Mohd Shafie Abdullah, Setiausaha Politik Menteri Kewangan yang bertanding di Parlimen Wangsa Maju.
Dua lagi orang rapat Najib di JPM yang bertanding ialah Datuk Sahlan Ismail, Setiausaha Politik (2) Perdana Menteri di Parlimen Pokok Sena dan Datuk Latt Shariman Abdullah, pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan di DUN Kubang Rotan, Kedah.
“Ini satu formula untuk perkukuhkan kedudukan Najib sebagai Presiden. Najib tahu dia akan dicabar dan cabaran itu datang dari Muhyiddin.
“Sebelum ini kita nampak, secara ganas Najib menolak Tun Abdullah Badawi. Hujahnya, Pak Lah gagal mempertahankan majoriti dua pertiga yang dimenangi Barisan Nasional,” kata Johari.
Tambah Johari, Najib mahu keluar dari bayang-bayang bos lamanya, Abdullah Badawi. Justeru tindakan menukar barisan pegawai ‘Tingkat 4’ di Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan perlu dibuat melalui pencalonan dalam PRU-13.
“Tapi, kali ini Najib terpaksa bertarung dengan pilihan Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir,’ kata Johari, merujuk 78 calon bebas yang engkar arahan Najib.