KEADILAN Melaka yakin menembusi parlimen Tangga Batu, Bukit Katil dan Jasin selain beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya umum ke-13.
“Ini berdasarkan sambutan hangat rakyat Melaka. Ribuan yang hadir dalam setiap program kita.
“Sekurang-kurangnya lima ceramah dianjurkan KEADILAN Melaka dengan sasaran khusus kepada isu kaum wanita dan anak muda,” kata Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Melaka, Shamsul Ishandar Mohd Akin.
“Dulu tak pernah ada gangguan BN. Oleh kerana program kita begitu kerap dengan kombinasi bersama Pas dan DAP di Melaka, mereka rasa tergugat,” kata Shamsul.
Tambah Shamsul, barisan calon KEADILAN Melaka untuk pilihan raya umum ke-13 adalah yang paling mantap dalam sejarah.
“Kita ada kombinasi orang lama berpengalaman, bekas pegawai tentera, anak muda, dan profesiomal dari pelbagai kaum,” kata Shamsul
Antaranya Rahim Ali (parlimen Tangga Batu) bekas pensyarah di sebuah kolej di Brunei, Ir. Rahmat Yusof (parlimen Jasin) jurutera awam dan bekas Timbalan Pengarah HEP UiTM Melaka, Prof. Madya Dr. Rusnah Aluai di DUN Rembia.
“Orang Melaka sedar isu Melaka terutamanya hutang kerajaan negeri berjumlah RM800 juta. Selain itu pembazian projek infrastruktur seperti pembinaan Go-Kart di Ayer Keroh selain kelemahan pentadbiran Datuk Seri Ali Rustam.
“Kalau dulu orang mahu ke Melaka kerana produk pelancongannya, tapi sekarang tidak lagi kerana terlalu banyak projek gajah putih dan terbengkalai.
“Pilihan raya umum ke-13 kita yakin akan berlaku perubahan mengejutkan di negeri ini,” kata Shamsul.