Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar meminta pemimpin Umno sama ada peringkat Majlis Tertinggi, ahli parlimen ataupun memegang jawatan di dalam kerajaan agar tidak perlu bersikap retorik.
Jelasnya, mereka yang membantah keputusan kerajaan yang menaikkan kadar tol atau barangan lain perlu menyatakan pendirian mereka secara jelas dengan keluar daripada Barisan Nasional dan berjuang bersama rakyat.
“Kita lihat ada sebilangan mereka di dalam Umno menyatakan bantah dan tidak puas hati mereka atas keputusan kerajaan serta menaikkan kadar tol serta barangan lain kerana membebankan rakyat.
“Bagi saya mereka ini tidak perlu bersikap retorik semata-mata, kalau betul mendengar suara rakyat mereka perlu keluar dari kerajaan atau parti yang disertai sebagai bantahan.
“Duduk bersama rakyat berjuang menuntut hak, ini jalan terbaik untuk mereka mengecam keputusan yang dilihat menekan hidup rakyat,” jelasnya kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menyambut baik bantahan yang dilemparkan oleh pemimpin Umno terhadap keputusan peringkat tertinggi kerajaan dalam membeban hidup rakyat.
Namun katanya, bantahan itu tidak memberi apa-apa kesan kepada pemimpin yang mereka sanjungi jika tidak ada satu keputusan drastik atau mengejutkan dilakukan oleh mereka.
“Terdapat beberapa pemimpin yang membantah seperti Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam keputusan kabinet walaupun beliau turut berada di dalam kabinet.
“Saya sokong tapi ia tidak akan memberi kesan kepada pemimpin tertinggi (Perdana Menteri) jika bantahan itu tidak disertai dengan tindakan keluar dari parti (Umno BN).
“Adalah lebih baik mereka meninggalkan Umno-BN jika mereka sendiri tidak setuju dengan keputusan yang membebankan hidup rakyat, saya pasti Perdana Menteri akan terfikir kesan dari keputusan beliau itu,” sambung beliau.
Beliau yang turut menyeru agar mana-mana pimpinan dari Umno-BN yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan menaikkan kadar kos yang membebankan rakyat perlu hadir bersama-sama rakyat menyatakan bantahan mereka.
Katanya tidak perlu hanya berani bersuara sedangkan pada hakikat sebenar mereka takut untuk berdepan dengan ketua mereka sendiri demi menjaga kedudukan di dalam parti mahupun kerajaan.