Ahli Parlimen progresif dijadualkan mengadakan pertemuan di Parlimen Selasa ini bagi membincangkan masa depan negara, susulan laporan mengenai berbilion ringgit disalurkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam kenyataan berasingan, Lim dan Wan Azizah turut menggesa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan organisasi bukan kerajaan yang “tidak suka kepada rasuah” menyertai mesyuarat itu.
Mesyuarat itu dipanggil Wan Azizah sebagai ketua pembangkang atas permintaan Lim.
“Mesyuarat itu untuk mempertimbangkan akibat, kesan dan masa depan Malaysia susulan tuduhan WSJ (The Wall Street Journal) dan pengesahan peguam negara mengenai wujudnya dokumen daripada siasatan kerajaan ke atas dakwaan serius terhadap perdana menteri,” kata Lim.
WSJ baru-baru ini menerbitkan laporan mendakwa AS$700 juta (RM2.67 bilion) disalurkan daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke dalam akaun peribadi Najib sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.