Oleh: Selena Tay
Seorang pemilik kedai runcit di Kuala Lumpur merungut dan menyalahkan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menyebabkan perniagaannya mengalami kekurangan modal pusingan.
Beliau berkata sudah membeli barangan runcit dengan harga yang lebih mahal pada bulan April setelah GST dilancarkan tetapi rebat yang patut diterimanya belum lagi sampai.
Rebat tersebut adalah perbezaan antara harga sebenar barangan tersebut dengan GST yang dikenakan oleh pemborong. Contohnya, mee segera termasuk GST berharga RM5.30. Harga asal ialah RM5.
Pemilik kedai runcit membayar RM5.30 kepada pembekal dan caj 30 sen akan diambil daripada pelanggan yang membeli mee segera itu. Pemilik kedai memungut 30 sen dan diberikan kepada Jabatan Kastam.
Kerajaan akan memulangkan 30 sen yang diberi kepada pemborong oleh pemilik kedai tadi kerana beliau telah memungut 30 sen untuk kerajaan. Namun apabila rebat itu lewat dipulangkan maka peruncit amat tertekan.
“Sistem GST ini sangat rumit. Ramai rakan-rakan saya terutama warga emas yang memiliki kedai runcit telah menutup perniagaan mereka kerana kurang arif dengan sistem ini. GST buat peniaga pening kepala saja,” kata beliau.
Menurut peniaga yang enggan disiarkan nama itu, janji pihak kastam untuk memulangkan tuntutan GST dalam satu hingga tiga bulan terlalu lama. Katanya, tempoh yang sepatutnya hanya sebulan. Sekiranya tiga bulan diambil kira maka modal pusingan biasanya terjejas teruk.
Berkemungkinan pemilik kedai tidak akan mampu membeli stok baharu dalam kuantiti besar dan menjejaskan perniagaannya. Oleh itu, sistem GST ini memang akan mengurangkan golongan peniaga dan akan mengurangkan kutipan hasil kerajaan pada masa depan.