Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) masih boleh berfungsi dengan Dr Tan Seng Giaw sebagai naib pengerusinya, walaupun ia tidak mempunyai seorang pengerusi buat masa ini, kata DAP hari ini.
Ketua Parlimen parti Lim Kit Siang berkata, ini kerana ahli Parlimen DAP itu dilantik oleh Parlimen dan mempunyai anggota kerja mencukupi untuk meneruskan siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau menegaskan, mengikut Peraturan Mesyuarat Parlimen, PAC ketika ini mempunyai keahlian yang cukup bagi meneruskan siasatannya terhadap 1MDB, walaupun kehilangan Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai pengerusinya serta 3 anggota lain yang terdiri daripada ahli Parlimen Umno.
“Tiada sebab kenapa PAC perlu menangguhkan siasatannya atas 1MDB kerana ada 9 lagi anggota PAC, dengan Dr Tan sebagai naib pengerusi mengambil alih daripada Nur Jazlan sebagai pemangku pengerusi, bersama 4 lagi ahli Parlimen Umno/Barisan Nasional (BN), 2 darpadai PKR, dan seorang masing-masing daripada DAP dan PAS,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.