Tindak tanduk Pas yang tidak mahu menentang Bajet 2016 sebagaimana rakan-rakan pembangkang lain dalam sessi pengundi di parlimen pada 16 November lalu menunjukkan belang sebenar parti itu.
Tidak terhad dengan langkah enggan menghukum BN, Pas memanggil pula tiga ahli parlimennya yang bersama pembangkang mengundi menentang Bajet 2016. Tidak diketahui apakah tindakan displin yang bakal diambil ke atas Mahfuz Omar dan rakan-rakan beliau selepas ini.
Namun yang pasti rakyat Malaysia anti BN tidak akan lagi mempercayai Pas. Hanya penyokong tegar parti itu akan membuta tuli walak kepada presiden. Sementara penyokong senyap, ahli biasa dan simpatisan bakal mencari wadah baru selepas ini.
Menyelamatkan BN
Pas bukan sahaja dilihat mahu membalas dendam kepada bekas rakan-rakan Pakatan Rakyat dengan tidak bersama mereka dalam sebarang usul ke atas BN, menolak rang udang-undang BN atau menyokong usul BN, namun Pas telah pergi jauh dengan menjadi sekutu menyelamatkan BN.
Sebaik sahaja mereka menyelamatkan BN maka secara automatik Pas adalah penyokong kezaliman pemerintah. Ungkapan tidak boleh berkecuali ketika menghadapi pemerintah zalim lumrah diucapkan dalam ceramah Nik Aziz atau Fadhil Noor suatu waktu dahulu.
Mereka bertegas, seseorang apabila melihat kezaliman mestilah berpihak kepada kebenaran dan bukannya mendiamkan diri atau dalam bahasa politik berkecuali.
Bajet 2016 terbukti menzalimi rakyat. Peruntukan pendidikan di potong sehingga RM2.4 bilion dan menyaksikan peruntukan ke atas universiti dan R & D universiti dikurangkan dengan drastiknya.
Ilmu diutamakan dalam Islam bagi memastikan umat perkasa dan berwibawa. Dengan memotong peruntukan pendidikan ternyata kerajaan BN mahu melihat umat lemah dan melahirnya banyak penganggur yang merosakkan potensi pembangunan negara.
Sebaliknya, dalam masa sama bajet untuk Jabatan Perdana Menteri pula dinaikkan bagi memudahkan Najib merasuah rakyat melalui BR1M.
Pas menyokong semua perkara mengarut itu apabila tidak menentang Bajet 2016. Pada masa depan adalah sangat sukar untuk gabungan pembangkang bekerjasama dengan parti ini. Perhitungan yang perlu diambil kira tentulah, adakah Pas akan memihak kepada Pakatan Harapan dalam situasi sukar menghadapi BN?
Dendam sempit
Sekiranya Pakatan Harapan mendapat jumlah kerusi yang hampir sama dengan BN selepas PRU 14 kelak Pas tentunya akan mejadi kuasa pengimbang. Mereka memutuskan sama ada ingin bergabung dengan BN atau bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan.
Namun dengan sikap Pas yang bukan mendahulukan rakyat tetapi lebih kepada dendam sempit menghadapi DAP maka berkemungkinan besar parti islam itu akan menyokong BN. Sekiranya Pas bersama PH ketika awal penubuhan kerajaan sekali pun, parti itu akan menuntut pelbagai perkara. Sekiranya PH tidak merestuinya maka Pas akan melompat bergabung bersama BN dan kerajaan PH akan tumbang.
Sejak Oktober lalu, apabila PH ditubuhkan puak Azmin Ali dalam PKR lebih cenderung untuk mengekalkan kerjasama bersama Pas. Kerjasama itu termasuklah membenarkan Pas bertanding di kerusi yang mereka telah sedia bertanding.
Dalam pilihan raya kelak PKR akan mengorbankan beberapa kerusi untuk ditandingi Amanah, sementara Pas akan menjadi sekutu tidak rasmi dan seboleh-bolehnya PH tidak bertanding di kerusi Pas.
Namun perkembangan terbaharu ini merobah semula perhitungan itu. Dengan Pas lebih mesra BN dan Mursyidul Amnya Haron Din tidak menolak gabungan politik bersama BN, maka PH perlu mengubah dasar bertanding di semua kerusi Pas.
Tanding tiga penjuru
Terutama kerusi yang mana PH mampu memberi saingan hebat biar pun akan berlaku pertandingan tiga penjuru antara Pas, BN dan Amanah.
Kerusi-kerusi tersebut wujud di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Sementara kerusi di Johor dan Negeri Sembilan Pas diramal tidak akan mampu memberi saingan kerana imej Amanah lebih moderat. Kaum Melayu di negeri itu mengundi Pas kerana inginkan Pakatan Rakyat menerajui negara dan bukannya semata-mata Pas adalah parti Islam.
Tujuan PH bertanding di kerusi Pas adalah sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya Pas membelakangi perjuangan rakyat sebagaimana yang ditunjukkan dalam pengundian Bajet 2016. Sekiranya Amanah menang banyak kerusi dan cukup untuk membentuk kerajaan persekutuan atau negeri, peranan Pas hanyalah bonus sahaja dan bukannya faktor penentu.
Namun amat merbahaya jika Pas dijadikan faktor pengimbang antara PH dan BN. Kerajaan boleh bertukar ganti dengan cepat akibat tidak tanduk parti Islam itu yang semakin menjadikan Melayu keutamaan perjuangannya.