Komen pembaca
PAS selesai mengadakan pemilihan dan keputusannya amat dialu-alukan oleh seluruh rakyat Malaysia. Muka baru dalam kepimpinan tertinggi terdiri dari Mohammad Sabu , Husam Musa diganding dengan Mahfuz Omar serta Salahudin Ayub disifatkan banyak pihak sebagai pasukan paling sempurna dalam sejarah penubuhan PAS.
Team ini sejak sekian lama telah menunjukkan sikap yang konsisten menentang Barisan Nasional. Tidak berkompromi dan amat diterima baik oleh akar umbi PAS. Naiknya Mat Sabu tentunya mengingatkan kita kembali ke zaman demonstrasi, terutama demo Bersih yang pertama pada 2007 lalu yang digerakkan oleh beliau dan Dr Hatta Ramli.
Demo Bersih pada 9 Julai nanti insyaallah tidak akan kurang sambutannya dari demo empat tahun lalu. Begitu juga dengan ketegasan Mahfuz Omar dalam menentang kekejaman BN. Sejak menduduki kerusi Ketua Pemuda PAS Mahfuz terkenal melalui demo anjurannya. Salah satu yang terkenal ialah demo di pintu masuk Universiti Malaya menentang kedatangan pasukan kriket Israel. Mahfuz dikenakan hukuman penjara kemudiannya kerana mengetuai demo haram itu.
BN Pijak Kepala
Bukanlah kita mahukan Malaysia menjadi negara Arab seperti Mesir, Algeria, Libya, Yemen, Syiria, Bahrian dan sebagainya yang mana rakyat berdemo sehingga berminggu-minggu dan akhirnya menyebabkan pertumpahan darah dan memakan korban ratusan jiwa. Namun tanpa demo kerajaan BN begitu ‘naik lemak’. Mereka menganggap rakyat semuanya bangang dan boleh mengikut kata mereka.
Setiap hari dikatakan jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan amat besar. Malah antara yang terbesar di dunia. Tetapi jumlah itu bukanlah yang diberikan kepada rakyat. 2/3 nilai subsidi diberikan kepada penjana tenaga bebas, konsesi tol dan sebagainya. Jumlah yang dinikmati rakyat jika dibandingkan dengan mana-mana negara di dunia adalah normal. Tetapi jumlah yang diberi kepada syarikat kroni menyebabkan ekonomi tertekan dan negara menanggung banyak hutang. Jika nilai subsidi sehingga RM20 bilion kepada syarikat kroni itu ditarik balik rasanya Malaysia tidak lagi akan berhutang dan rakyat tidak perlu menanggung kenaikan harga barangan setiap 6 bulan sekali.
Untuk menyekat kerajaan daripada memijak kepala rakyat sesuka hati inilah perlunya diadakan demo yang kerap. Kalau boleh sebulan sekali. Demo juga dapat menarik perhatian golongan rakyat yang mamai kepalanya akibat hiburan dan tidak tahu kezaliman BN ke atas mereka.
Demo Reformasi misalnya telah menyedarkan jutaan rakyat Malaysia tentang kepincangan sistem kehakiman. Biar pun mereka memilih BN juga dalam pilihan raya namun kesedaran yang ditanam membuat mereka menerima demo sebagai luahan rasa dan sesuatu yang demokratik kerana institusi negara telah dicabuli.
Lujnah Demonstrasi
Biarpun PAS menolak mentah-mentah gurauan beberapa pihak sebaik sahaja Mat Sabu menang Timbalan Presiden agar ditubuhkan Lujnah Demontrasi, namun jika diteliti lebih mendalam ia sebenarnya mendatangkan manfaat. Ketika PKR tidak teruja untuk berdemo kerana sibuk dengan kes perbicaraan Ketua Umumnya Anwar Ibrahim, pada ketika inilah PAS perlu mengambil peranan aktif menganjurkannya. PKR juga bergelut dengan masalah dalaman Angkatan Muda Keadilan yang lesu kerana kurang komitmen ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin. Demo kecil-kecilan yang diadakan di ibu negara sejak awal tahun ini diorganisasikan oleh orang lain, seperti Jonah dan Rozan Azen. Pesertanya pun tidak seberapa dan FRU boleh menghisap rokok sambil memerhatikannya.
Inilah ketikanya PAS perlu mengambil-alih peranan berdemo dari PKR. Bentuklah ‘Lujnah Kesedaran Sosial’ misalnya untuk mengerakkan pengedaran risalah dan perancangan demo. PAS terbukti sebagai parti yang sangat kuat gerak kerja penyebaran risalah dan mengumpulkan penyokong. Ahli pun telah melepasi sejuta orang. Tidak syak lagi PAS akan menjadi parti dominan mengatasi PKR dan DAP dalam pilihanraya akan datang.
Namun PAS perlu menonjolkan diri. Perlu diiklankan kepada rakyat prestasinya. Jenama Mercedes atau BMW pun tidak akan dikenali jika tidak diiklankan.Sebelum ini PAS diiklankan sebagai ‘pengacau’ dengan idea kerajaan perpaduan hasil pendekatan Nasharudin dan beberapa pemimpin lainnya. Tetapi kini UG telah berkubur, masa depan PAS ialah efisiensi menangani isu rakyat secara tegas.
Bagi Mat Sabu ramai penyokong PAS menyatakan Mat Sabu bertanding bukan untuk menjadi presiden dalam jangka masa panjang. Hanya ingin menolong PAS dalam pilihanraya. Majoriti penyokong PAS suka kepimpinan Mat Sabu yang tegas. Inilah masanya bagi Mat Sabu membuktikan kegarangannya menggempur Umno-BN
Saya mengucapkan tahniah atas team terbaik PAS yang dipilih dalam Muktamar ke 57 lalu. Selamat berjuang dan banyakkan demontrasi agar rakyat melihat PAS membela suara tertindas mereka.
– Sebarang sumbangan berita / kenyataan media / artikel / komen atau pun maklumat boleh dihantar ke: webpakatan@gmail.com.