Kenyataan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sewaktu lawatannya ke Pokok Sena dua hari lalu meminta lebih peruntukan buat program pra-sekolah Permata kendalian agensi di bawahnya dikecam oleh ahli parlimen Ampang Zuraida Kamarudin. Zuraida meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merujuk perkara itu ke sidang Parlimen terlebih dahulu sebelum meluluskan atau membuat sebarang keputusan mengenainya.
“Peruntukan sebanyak RM111 juta yang diperuntukkan buat Permata dalam Belanjawan 2011 lalu telah habis diguna pakai tanpa sebarang laporan rekod kewangan dan perbelanjaan dibentangkan.
“Najib selaku Menteri Kewangan harus tahu bahawa laporan kewangan dan rekod perbelanjaan penting bagi mengawal aliran perbelanjaan negara, sekaligus mengelakkan pembaziran yang melampau dan berterusan.
“Beliau sepatutnya mengawal dan menghalang isterinya dari terus mencukur wang rakyat. Wang rakyat dan pembayar cukai tidak wajar digunakan untuk tujuan pubkisiti dan peribadi,” katanya.
Rosmah sebelum ini didakwa oleh media alternatif dan ahli politik Paktan Rakyat telah membazirkan wang negara untuk membeli aksesori peribadi seperti beg tangan berharga RM1juta dan cincin permata mencecah nilai RM74juta.
“Saya menggesa agar Najib membentang dan mendebatkan perkara ini di sidang Parlimen terlebih dahulu sebelum meluluskan atau membuat sebarang keputusan mengenainya kerana ianya akan melibatkan jutaan ringgit dana awam.
“Laporan kewangan, data keberhasilan dan indikator pencapaian program Permata ini juga seharusnya dibekalkan kepada semua Ahli Parlimen agar kajian penambah baikkan yang menyeluruh juga dapat dibuat,” akhiri Zuraida.