KUALA LUMPUR: Enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dibebaskan petang tadi selepas ditahan tanpa bicara mengikut Ordinan Darurat (EO) selama 28 hari, percaya kuasa rakyat yang terus-terusan mengenakan tekanan terhadap kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) membawa kepada pembebasan mereka.
Mereka adalah Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar; Naib Presiden PSM M Sarasvathy, Ahli Jawatankuasa Pusat, Choo Chon Kai dan M Sukumaran, Ketua Pemuda R Saratbabu dan Setiausaha Cawangan Sungai Siput, A Letchumanan.
“Kalau tiada kuasa rakyat, kami tak akan keluar,” begitulah kata setiap seorang daripada mereka sewaktu berucap pada majlis menyambut pembebasan mereka di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) malam tadi.
Mereka diberi kalungan bunga setiap seorang umpama perwira yang pulang dari medan perang.
Pun begitu, Choo Chon Kai, seorang mereka dengan merendah diri berkata, wira sebenar adalah rakyat Malaysia yang saban hari mengadakan upacara memasang lilin di Bukit Aman menuntut pembebasan mereka.
“Saya tak rasa kami wira. Wira sebenar adalah anda semua. Andalah wira kepada demokrasi di Malaysia ini,” kata Chon Kai.
Letchumanan pula menegaskan, semangat juang mereka untuk menentang kezaliman kerajaan Umno BN yang memperkakaskan polis tidak pernah pudar.
“Ini IGP (Ketua Polis Negara) boleh penjarakan jasad saya tetapi dia tak boleh penjarakan semangat saya,” katanya.
Mereka turut menceritakan bagaimana polis tidak pernah cuba untuk menyiasat dakwaan kononnya mereka terlibat dengan Bersih, malah, sepanjang ditahan, proses soal siasat hanya dibuat selama 10 hari, selebihnya, dibiar bersendirian dalam sel masing-masing sebagai satu bentuk seksaan mental.
Sukumaran pula menganggap cara polis menyoal siasat sebagai tidak masuk akal dan melucukan.

Saraswathy, srikandi baru Bersih
“Mereka tidak tanya tentang Bersih. Mereka tanya saya tentang keadaan di Sungai Siput. Mereka tanya tentang keahlian PSM di Sungai Siput. Saya cakap, you tak payah tanya sayalah.
“You tanya SB (polis Cawangan Khas) Sungai Siput mereka lebih tahu,” katanya disambut gelak tawa daripada lebih 500 hadirin yang memenuhi auditorium.
Sarasvathy, satu-satunya tahanan wanita berkongsi pengalaman beliau yang cuba ditakut-takutkan dengan cerita hantu oleh polis.
“Perempuan punya sel, hantu jantan mari,” kata Saras menceritakan kembali ‘ugutan’ polis kepadanya.
Ketua Pemuda PSM, Saratbabu pula menganggap pembebasan mereka ini sebagai satu permulaan baru dalam perjuangan membela rakyat.
“Saya akan sentiasa bersama rakyat dan perjuangan rakyat,” katanya.
Dr Jeyakumar pula menegaskan pembebasan mereka kali ini adalah bukti rakyat Malaysia sudah berani ke depan menentang kezaliman pemerintah dan tidak boleh diperbodohkan lagi.
“Anda tidak boleh memperbodohkan rakyat Malaysia lagi,” katanya merujuk kepada dakwaan awal, kononnya mereka melancarkan peperangan terhadap Yang Di Pertuan Agung.
Selepas majlis sambutan itu berakhir, sebahagian hadirin menyertai majlis memperingati kematian Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini yang turut berlangsung di tingkat bawah KLSCAH.
(Ahmad Fadli, Keadilandaily)