Angkatan Muda Keadilan (AMK) membantah pelantikan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abd Rahim Noor sebagai fasilitator baharu dalam rundingan damai wilayah selatan Thailand.
Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin berkata, ia kerana pelantikan itu dilihat tidak sensitif dan tidak mempunyai justifikasi serta asas yang kukuh.
“Kesalahan jenayah beliau terhadap bakal Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih segar dalam ingatan setiap ahli parti.
“Masih terbayang-bayang imej mata lebam Anwar pada pagi 29 September 1998 apabila beliau dibawa ke mahkamah,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Menurutnya, imej itu menjadi simbol kezaliman Umno dan BN serta penentangan rakyat ketika era Reformasi.
“Kami juga berpendapat masih ramai lagi individu dan mantan pegawai tinggi polis yang lebih layak menyandang jawatan tersebut.
“Kami sekali lagi mengecam pelantikan beliau dan mahu kerajaan mengkaji semula keputusan ini demi kebaikan semua pihak,” katanya.