Watak-watak yang menyebabkan Malaysia dimalukan menerusi skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin dan dipenjarakan.
Demikian pendapat Jameson Tan, 68 tahun, seorang pelabur asing yang memiliki kilang di Sungai Buloh, Selangor.
Katanya, hanya dengan cara itu sahaja pelabur-pelabur luar akan kembali percaya kepada sistem undang-undang negara dan tahap ketelusan ekonomi.
“Seandainya ada sesiapa yang didapati tidak bersalah, maka pelabur asing tidak akan percaya kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan sudah tentu tidak ada lagi yang akan datang ke Malaysia.
“Kini pelabur asing sedang mengambil langkah ‘tunggu dan lihat’ untuk semua pesalah ditangkap dan juga permulaan prosiding di mahkamah,” katanya.
Beliau juga menegaskan rakyat Malaysia bertuah kerana berjaya mengalahkan BN pada 9 Mei lalu. Menurut Jameson, sekiranya BN menang lagi boleh dikatakan pelabur asing yang sedia ada akan menarik keluar modal kerana tidak yakin terhadap masa hadapan negara.
“Kalau BN menang, maka malaplah masa depan Malaysia. Itu sangat malang kerana Malaysia berpotensi untuk maju jauh ke depan meninggalkan lain-lain negara ASEAN dengan sumber asli yang banyak dan tenaga manusia yang cerdik dan berkebolehan.
“Faktor yang menyebabkan Malaysia jatuh ke belakang ialah pengurusan dan pentadbiran yang lemah serta dibelenggu pelbagai masalah selama 6 dekad.
“Tetapi era pahit ini sudah berlalu dan kini langit terang semula,” jelasnya.
Mengulas mengenai kegagalan kerajaan menurunkan harga barang dalam tempoh 100 hari, beliau berkata rakyat perlu memahami apabila hutang negara begitu tinggi mencecah RM1 trilion, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh kerajaan.
“Apabila negara mempunyai banyak hutang dan kerajaan ada masalah kewangan, memanglah harga barang runcit akan mahal kerana kerajaan tidak mampu memberi subsidi dan mengawal harga.
“Sebenarnya, walau terdapat pelbagai kekurangan, kerajaan PH dikira telah melakukan yang terbaik. Harga minyak RON95 dapat dikekalkan pada RM2.20 seliter dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan telah dihapuskan.
“Sedangkan sebelum ini, golongan usahawan menjangka kalau BN menang pilihanraya umum yang lalu, kadar GST akan meningkat dari 6% kepada sekurang-kurangnya 8%,” katanya.