Kerajaan BN dijangka akan melakukan bacaan kali keempat Rang Undang-undang Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada sesi Parlimen Oktober ini bagi mengambil-alih Cukai Jualan dan Perkhidmatan yang diamalkan sekarang.
Cukai GST akan dikenakan ke atas semua jenis barangan dan perkhidmatan pada pelbagai pelbagai tahap; peringkat pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna. Bagi ahli parlimen Kuala Selangor yang juga penyelidik ekonomi Sekretariat Pakatan Rakyat Dr Dzulkifly Ahmad, cukai GST hanya akan menambah beban rakyat ketika nilai pendapatan masih tidak bertambah.
“GST dalam bahasa mudah ialah cukai yang akan mengikuti rakyat ke mana sahaja sepanjang hari. Rakyat akan dicukai setiap saat, hatta singgah di kedai mamak untuk menikmati sarapan pagi sekali pun. Semua barangan yang dibeli dikenakan cukai kecuali beberapa barangan yang dikecualikan
“Cukai pada semua peringkat ini hanya layak dilasanakan di negara berpendapatan tinggi, bukan di negara ini yang majoriti rakyatnya berpendapatan sederhana dan rendah.
“Kami, Pakatan Rakyat menegaskan GST tidak boleh dikuatkuasakan selagi kerajaan tidak memperkenalkan gaji minimum dan meningkatkan kadar upah serta gaji pekerja,” kata Dr Dzulkifly
Tambahnya, sistem pasaran buruh negara ini masih terperangkap dengan apa yang dimulakan oleh Dr Mahathir beberapa dekad lalu. Iaitu negara membekalkan tenaga buruh murah kepada industri untuk menarik pelaburan asing. Akibatnya, kadar pendapatan rakyat mengalami sedikit sekali peningkatan. Menurut kajian Bank Dunia, sepanjang sedekad lalu rakyat Malaysia hanya mengalami peningkatan gaji – setelah ditolak kadar inflasi tahunan – sebanyak 2.6 peratus, antara yang terendah di Asia.
“Kita dapati banyak cara lain untuk meningkatkan hasil negara tanpa mengenakan GST. Misalnya berdasarkan laporan Ketua Audit Negara, dengan menutup lubang ketirisan, kita boleh menyelamatkan RM28 bilion setahun.
“Dalam belanjawan PR kita mahu Approved Permit (AP) dilelong bagi mendapatkan harga yang terbaik dan akan mengumpul hasil RM1.7 bilion setahun. Pasaran monopoli dalam telekomunikasi, beras, gula dan ubat-ubatan jika dipecahkan akan menjana lebih banyak hasil. Begitu juga, subsidi kepada penjana tenaga bebas (IPP) yang dimiliki kroni BN, sekiranya ditarik balik akan menjimatkan berbilion wang negara.
“Semua itu jika dilakukan mampu mengumpulkan sejumlah besar kewangan yang menampung belanja mentadbir negara dan mengelakkan GST daripada dilaksanakan. Persoalannya, adakah BN akan melakukan perkara itu?” tanyanya.
Dr Dzulkifly memberi amaran sekiranya BN berkeras meluluskan GST pada sessi parlimen kali ini maka rakyat akan mengajar mereka dalam pilihanraya akan datang. GST yang dilabelkannya sebagai GASAK SAMPAI TERUK, akan menggasak BN sampai tumbang.