Sumber maklumat dalaman Umno-Barisan Nasional (BN) Perak yang memaklumkan bahawa calon Menteri Besar Negeri Perak jika BN menang pada PRU ke-13 adalah seorang yang belum pernah bertanding sebagai ADUN ataupun Parlimen. Calon tersebut adalah seorang Ketua Umno Bahagian yang mana ADUNnya kini telah menyatakan kesediaan untuk berundur bagi memberikan laluan kepadanya.
Mengulas perkembangan terbaharu itu Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss berkata nasib MB yang ada sekarang Zambry kadir akan menjadi tidak menentu, sama ada bertanding kerusi parlimen atau digugurkan.
“Sudah tentu nasib Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir selepas ini agak berlainan dan mungkin akan bertanding pada PRU 13 kali ini di atas tiket kerusi Parlimen. Mungkin jejak yang sama akan dituruti oleh bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Haji Mohammad Tajol Rosli Mohammad Ghazali yang masih mendiamkan diri tentang kedudukannya.
“Persoalan timbul, apakah kelebihan kepada calon ini yang masih belum pernah menjadi ADUN atau Ahli Parlimen? Beliau juga dikatakan tidak pernah menjadi Menteri atau dilantik sebagai Senator langsung?
“Adakah beliau diterima oleh Umno Perak walaupun beliau amat rapat dengan Presiden Umno, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak?” tanyanya.
Tambah Dr Raja Ahmad, sudah tentu akan berlakunya perpecahan dalam umno Perak apabila Zamry digugurkan dari menjadi MB. Manakala muka baru yang dilantik itu belum tentu mendapat sokongan dari pemimpin-pemimpin parti peringkat negeri
“Sudah tentu perpecahan Umno Perak yang masih berpecah di bawah kepimpinan Datuk Seri Zambry akan terus bergolak jika memang benar beliau akan tidak menjadi calon.
“Datuk Seri Zambry ketika mengulas tentang kenyataan ADUN Pengkalan Baru, Datuk Hamdi Abu Bakar dimana beliau antara ADUN yang telah bersetuju mengundurkan diri bersama ADUN Lintang, Datuk Haji Ahamad Pakeh Adam dan juga ADUN Belanja, Datuk Haji Mohd Zaim Abu Hassan seperti agak terkejut baru-baru ini. Adakah pengganti antara tiga DUN ini adalah calon Menteri Besar BN akan datang?” solanya lagi