Penjenamaan semula Indah Water Consortium (IWK) kepada Syarikat Pembentungan Kebangsaan (Nascom) yang akan menyerap 160 kakitangan dari Jabatan Pembentungan (JP) di bawah Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dijangka memulakan satu lagi kitaran penswastaan untuk kroni.
IWK yang sebelum ini adalah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan berkemungkinan akan diswastakan sepenuhnya dalam jangka waktu tertentu. Kebimbangan itu disuarakan oleh Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media di Pejabat Agung PAS pada 15 Disember lalu.
“Tidak mustahil satu hari nanti Nascom akan dipindah milik menjadi syarikat swasta seperti yang dibayangkan oleh Najib bahawa kerajaan sedang melihat untuk menyerahkan beberapa syarikat milik kerajaan kepada pihak swasta.
“IWK selama ini menerima geran prasarana pembentungan, juga peruntukan dalam National Key Economics Area di Kuala Lumpur berjumlah RM7 bilion. Semua ini akan diserahkan kepada Nascom
“Begitu juga rizab tanah pembentungan milik kerajaan yang boleh dimajukan oleh syarikat itu. Jika diserahkan kepada swasta maka golongan tertentu akan mengaut keuntungan lumayan dari penswastaan ini,” katanya.
Nasib kakitangan Jabatan Pembentungan, menurut Mahfuz, akan suram selepas diserahkan kepada entiti swasta. Mereka tidak lagi menikmati skim pencen dan kebajikan dalam perkhidmatan awam selepas bertahun-tahun berkerja dan menyumbang tenaga.
“Lebih 90 peratus kakitangan Jabatan Pembentungan tidak bersetuju diserapkan ke dalam Nascom. Ada di antara mereka yang datang dari syarikat swasta untuk menikmati taraf pekerjaan yang lebih baik tetapi berakhir dengan diserapkan kembali ke sektor swasta.
“Begitu juga pengurusan IWK yang akan menguruskan Nascom. Mengapakah pengurusan yang gagal di IWK sehingga GLC itu berhutang RM1.5 bilion diberi peluang untuk menguruskan satu syarikat baru? Kerajaan yang bertanggungjawab tidak akan mengambil pengurusan yang telah gagal dan memberikan mereka dana permulaan RM200 juta bagi menubuhkan syarikat baru,” bidasnya.
Beliau juga menyelar sikap kerajaan yang mula mengecilkan siaz pentadbiran awam biarpun Saraan Baru Perkhidmatan Awam hanya akan diperkenalkan pada Januari depan. Penutupan Jabatan Pembentungan juga, katanya akan mengakibatkan kerajaan tidak boleh lagi memainkan peranan semak dan imbang terhadap kualiti dan harga perkhidmatan yang dibekalkan pihak swasta.
“Selama ini syarikat swasta akan memberikan harga tertinggi untuk perkhidmatan yang ditawarkan, bahagian teknikal kerajaanlah yang akan melakukan penyelidikan untuk mengetahui kos sebenar. Perkhidmatan yang diberikan juga boleh dipantau kualitinya. Dengan menswastakan JP kerajaan tiada lagi kelebihan ini kerana telah kehilangan kakitangan teknikal yang menjadi pemantau,” keluhnya.