Demonstrasi Himpunan Hijau 2.0 membantah projek nadir bumi Lynas di Kuala Lumpur dihadiri lebih 3,000 peserta. Kebanyakannya generasi muda yang tidak mahu tanah air dijadikan tempat buangan sisa radioaktif dan toksid dari negara maju.
Bantahan digerakkan oleh 11 NGO seperti Suaram, Dewan Perhimpunan Cina Selangor, ABU dan lain-lain.
Seawal jam 9.00 peserta berbaju hijau mula berkumpul di bangunan Maju Junction, Jalan Tunku Abdul Rahman dan melakukan pelbagai aksi bantahan serta lakonan yang mengambarkan kehancuran alam sekitar Malaysia disebabkan projek Lynas di Gebeng, Kuantan. Demosnstran kemudian berteriak: ‘ Hacur Lynas, henti Lynas!’
Demonstrasi itu diselang seli ucapan beberapa orang pemimpin NGO. Antaranya Yong Yew Wei, Setiausaha Agung Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur. Katanya:
“Malaysia perlukan pembangunan tetapi bukan pembangunan bodoh seperti projek Lynas. Keputusan (benarkan Lynas) adalah kesilapan besar.
“Lynas sama situasinya dengan Jalan Sultan (tapak projek MRT di Kuala Lumpur). Yang mana kemajuan mengorbankan warisan.“Kami mahukan kerajaan yang bagus. Jangan musnahkan alam sekitar,” laungnya diikuti beberapa tokoh NGO lain seperti Datuk Thasleem Mohd Ibrahim
Katanya, kerajaan Najib yang membenarkan Malaysia menjadi tempat bahan buangan radioaktif sedangkan projek seperti Lynas tidak dibenarkan di Australia dan kebanyakan negara maju.
“Lynas bukan datang kerana buruh murah. Ia kilang berteknologi tinggi, jadi sekiranya selamat mengapa tidak dilakukan sahaja di Autralia,” tegasnya.
Puluhan kenderaan yang melalui jalan Tunku Abdul Rahman membunyikan hon tanda sokongan. Semakin ramai perserta hadir pada jam 11.00, menjadikan jumlahnya melebihi 3,000 dan memenuhi di kedua-dua belah jalan. Mengingatkan kembali nostalgia demo Reformasi di jalan TAR pada 1998.
Peserta terus menjerit ‘ Henti Lynas sehingga jam 12.00 tengah hari. Penganjur perhimpunan peguam Harris Ibrahim memberi ucapan akhir dan meminta peserta bersurai secara aman. Pemimpin Pakatan Rakyat yang mengambil bahagian termasuk Chales Santiago, MP Kelang, Dr Dzulkifly Ahmad MP Kuala Selangor serta beberapa yang lain.
Di Kuantan, Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan di padang Majlis Perbandaran Kuantan 4, dihadiri lebih 10,000 penyokong.
Perhimpunan tersebut bermula jam 9.30. Peserta perhimpunan berkumpul di Padang MPK1, tempat asal perhimpunan sebelum berarak ke padang MPK4.
Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba ke tapak perhimpunan tersebut, kira-kira jam 10.40 pagi.
Turut hadir pada perhimpunan itu ialah Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub dan pimpinan utama Pakatan Rakyat.
Mereka melaungkan “Balik, balik. Lynas balik! Hancur, hancur. Hancur Lynas!”, selain membawa sepanduk, kain rentang dan poster yang memaparkan slogan anti Lynas.
Beberapa Wakil kumpulan NGO dan aktivis sosial, termasuk anggota jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0 turut memberikan ucapan ketika himpunan berlangsung.
Turut mencuri tumpuan ialah kehadiran Sasterawan Negara, Datuk A Samad yang membacakan puisi bertajuk ‘Gebeng Yang Luka’ ketika himpunan tersebut.