KAHERAH: Di saat pergolakan politik yang semakin rancak, beberapa orang ahli parlimen yang telah dilantik kini ditarik semula kelayakannya dan dibubarkan.
Mahkamah telah mengeluarkan kenyataan bahawa satu pertiga daripada kerusi parlimen yang didominasi oleh golongan Islamis adalah tidak sah sekaligus memporak-perandakan keadaan Mesir yang masih belum stabil.
Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) yang mengendalikan hal ehwal Mesir sekarang, kemudiannya menyatakan bahawa sekiranya mana-mana bahagian daripada Parlimen adalah tidak sah, maka seluruh jabatan parlimen harus dibubarkan.
Mahkamah Mesir juga menentang undang-undang yang memutuskan supaya Ahmad Shafiq, yang juga merupakan bekas Perdana Menteri Hosni Mubarak pada sesi yang lepas, dihalang daripada bertanding sebagai presiden yang akan berlangsung hujung minggu ini.
Ketika perselisihan pendapat berlaku di antara wartawan Mesir, sama ada satu pertiga atau keseluruhan parlimen akan dibubarkan, Rawya Rageh (Al Jazeera) berjaya memperolehi satu salinan keputusan Mahkamah, jelas menyatakan keseluruhan Parlimen mesti dibubarkan atas alasan “Pencabulan Perlembagaan”.
Manakala, satu sumber yang tidak dikenal pasti daripada kalangan Majlis Tertinggi Angkatan Tentera memberitahu Al Jazeera bahawa angkatan tentera bakal berkuasa semula dan akan membentuk Undang-Undang Tubuh Perlembagaan yang baru bermula Jumaat ini. Al Jazeera walau bagaimanapun tidak berjaya memastikan kesahihan hal ini daripada jurucakap rasmi Majlis Tertinggi Angkatan Tentera sendiri.
Parlimen telah pun dibentuk melalui satu proses yang kompleks di mana pengundi telah membuang undi sejumlah parti yang telah membentuk dua pertiga daripada Parlimen dan yang selebihnya daripada calon individu.
Sebelumnya, Hakim Mohamed Al-Gamal yang merupakan bekas ketua Majlis Tertinggi Negeri berkata, parti-parti politik tidak sepatutnya dibenarkan untuk bertanding di kerusi individu.
Malah beliau juga berkata jumlah satu perdua, bukan sekadar satu pertiga daripada kerusi sepatutnya diperuntukkan untuk calon individu.
“Sekiranya terbukti pemilihan yang lalu adalah tidak sah atau tidak memenuhi syarat, bermakna keseluruhan proses pilihanraya adalah terbatal,” kata Gamal lagi. ”Ini bermakna, Parlimen ini mesti dibubarkan.”
Ucapan Kemenangan
Shafiq mengalu-alukan pangadilan Mahkamah dalam satu muktamar di hadapan penyokongnya berkata, “Era politik telah berakhir”.
“Pihak Mahkamah juga telah mengesahkan hak saya untuk bertanding dalam pilihanraya dan membantu kesahihan pilihanraya ini.”
Rawya Rageh berkata,”Sememangnya satu ucapan kemenangan, beliau menujukan ucapan kepada rakyat Mesir seolah-olah beliau adalah Presiden dan bukan sebagai calon Presiden”. Beliau juga memuji pihak tentera dan berkata,”Era ketakutan telah berakhir”
Terdahulu, apabila satu pertiga ahli parlimen dibubarkan oleh Mahkamah, Speaker Saad Al-Katatni, seorang Islamis, telah berkata bahawa parlimen perlu membuat pertimbangan bagaimana untuk melaksanakannya.
Dalam ketiadaan pihak yang berautoriti, akibat penggulingan Mubarak setahun yang lalu, tiada pihak berkuasa yang berhak membubarkan Parlimen, tambah beliau lagi.
Mesti dibubarkan
Parlimen telah mengesahkan undang-undang bertarikh 12 April untuk menarik hak berpolitik mana-mana individu yang berkhidmat dalam Kerajaan Tertinggi atau Pihak Penguasa pada zaman pemerintahan Husni Mubarak berdekad yang lalu.
Setelah jelas bahawa Mahkamah membubarkan semua ahli Parlimen, Mohamed El-Erian (Ikhwan Muslimin) memberitahu Reuters bahawa pihak penguasa berhasrat untuk membawa negara ini ke arah “Terowong gelap”.
Mahkamah Tadbir telah mengeluarkan kenyataannya sejak bulan Februari bahawa pemilihan ahli Parlimen itu tidak menepati syarat.
Dalam pemilihan yang lalu, dua pertiga kerusi diperuntukkan untuk calon parti dan selebihnya untuk calon-calon individu, yang sepatutnya tidak ada kaitan dengan mana-mana parti.
Semenjak di bawah pemerintahan Mubarak lagi, Majlis Kehakiman Tertinggi telah mengajukan persoalan yang sama bagi mengadili undang-undang pilihanraya yang tidak sah pada tahun 1987 dan 1990, memaksa pembubaran Parlimen, pindaan keseluruhan sistem pilihanraya dan agar dijalankan tanpa bertangguh.
Keputusan yang akhirnya membenarkan Shafiq terus bebas dan bertanding sebagai Presiden menimbulkan tanda tanya rakyat Mesir, “Apakah yang telah revolusi berjaya capai selain daripada sekadar menjatuhkan Hosni Mubarak.”
Perintah baru
Pengadilan hari Khamis, sehari selepas Kementerian Perundangan mengeluarkan perintah rasminya yang membenarkan Polis Tentera dan Pegawai Perisikan menangkap mana-mana rakyat yang disyaki, secara tidak langsung telah mengembalikan semula sebahagian kuasa Undang-undang Darurat yang baru sahaja lupus dua minggu lalu.
Arahan yang menimbulkan kontroversi itu telah direncanakan sejak awal bulan ini dan hanya dikeluarkan pada hari Rabu.
Perintah tersebut berkuatkuasa terhadap pelbagai jenis tuduhan, termasuk mereka yang dituduh sebagai berbahaya kepada kerajaan, pihak yang merosakkan harta benda awam, menyekat lalu lintas serta melanggar perintah.
Beberapa peruntukkan itu akan membenarkan pihak tentera menahan mereka yang terlibat dalam demonstrasi secara aman. Jutaan yang berhimpun di Medan Tahrir misalnya, kebiasaannya mengganggu lalu lintas.
Ia akan terus berkuatkuasa sekurang-kurangnya sehingga Perlembagaan baru diumumkan, menurut sumber Kementerian Perundangan.