Berdasarkan jawapan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan & Kesejahteraan Bandar, M Saravanan, tidak wujud tanah warisan dalam mana-mana kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Demikian dinyatakan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Batu, Rozan Azen Mat Rasip yang mendengar kata-kata Saravanan yang menjawab soalan pemberita selepas bertemu penduduk Kg Railway di Sentul, minggu lalu.
“Jadi, tak ada tanah dalam Kuala Lumpur yang selamat. Tak hairanlah kalau semua petempatan akan dirampas atas nama pembangunan,” kata Rozan kepada Suara Keadilan.
Pada 17 Februari, puluhan penduduk Kg Railway berhimpun dekat Sekolah Rendah Convent Sentul membantah pemaju Sentul Raya Sdn Bhd (SRSB) memaksa penduduk berpindah tanpa menyiapkan rumah ganti terlebih dulu.
Justeru, satu bantahan rasmi menghalang pemindahan akan dihantar kepada pemaju pada bulan ini juga. SRSB adalah anak syarikat YTL Land & Development Bhd.
“Sepatutnya bina rumah ganti, kemudian barulah pindahkan penduduk. Notis berpindah ke rumah transit hanya sampai kepada 114 penduduk 13 Februari lalu. Tak ada rundingan langsung,” kata Rozan.
“Penduduk tak mahu. Lokasi baru jauh. Satu di flat Intan Baiduri, Selayang dan Bukit Jalil. Pemaju tak tunjuk keikhlasan untuk membantu,” kata Rozan menambah, setiap keluarga diberi saguhati hanya RM1,400 untuk belanja pindah.
Difahamkan pemaju SRSB membina 150 unit rumah kos rendah DBKL berharga RM90,000 seunit, jauh lebih rendah dari nilai tanah di Kg Railway.
“Yang kita perjuangkan ialah kekal disini, di Kg Raiilway. Mereka penduduk awal dan peneroka bandar yang memajukan Kuala Lumpur. Sepatutnya diberi keutamaan untuk kekal sebagai kampung warisan,” katanya.