Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berikutan kenyataan daripada Scooter Braun Projects, syarikat pengurusan bintang popular Park Jae-sang (PSY) daripada Korea Selatan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak membuat bayaran atas persembahan sempena Sambutan Tahun Baru Cina Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang di Sekolah Tinggi Han Chiang baru-baru ini.
Naib Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia Dr Raja Ahmad Iskandar Al Hiss mempersoalkan kenyataan terbabit. Katanya, umum mengetahui bayaran yang dikenakan kepada PSY hampir mencecah RM 2 Juta namun siapakah penaja bayaran tersebut?
“Siapakah individu atau syarikat yang begitu ‘pemurah’ bagi membantu BN Pulau Pinang untuk membawa PSY di sana? Jika ianya sebuah syarikat, adakah pihak Kerajaan telah memberikan beberapa projek lain bagi ‘habuan’ tersebut? Bagi kami, ianya jelas melibatkan satu kos yang amat besar jika dinilai kepada rakyat yang masih memerlukan samada penempatan atau sara hidup mereka.
“Pihak kami mendesak agar SPRM menyiasat jika ada unsur-unsur rasuah kepada mereka yang terlibat menganjurkan persembahan tersebut khasnya. Kami juga mendesak agar didedahkan siapakah penyumbang atau penaja RM 2 Juta tersebut bagi membuat bayaran kepada PSY. Dan sudah tentu apakah kepentingan (interest) penyumbang atau penaja tersebut terhadap Kerajaan. Kami begitu sangsi jika ianya bertujuan memberikan sumbangan tanpa apa-apa pulangan sebelum atau selepas dari itu sebenarnya,” katanya.
Raja Ahmad kesal dengan pembaziran tersebut. Katanya, dengan hanya satu lagu tidak sampai lapan minit persembahan boleh mencecah RM 2 juta bayaran.
“Cuba bayangkan berapa banyak faedah duit tersebut untuk orang-orang miskin berbangsa Cina sendiri yang begitu susah dan tidak dapat menyambut Tahun Baru Cina kali ini. Mungkin Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak memahami sendiri suara akar umbi rakyat Pulau Pinang khasnya. Siapak sangguh membelanjakan kos yang besar tanpa mendapat apa-apa habuan?” tambahnya