Menghadap Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Pemangku Sultan Perak Darul Ridzuan, Raja Dr Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah Muhibbuddin Shah, D.K., D.K.S.A, D,K.A, D.K. II (Selangor), S.P.C.M., S.P.T.S., S.P.M.P. (Perlis), Ph.D (Harvard). yang bersemayam pada masa ini di Istana DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Kuala Kangsar dengan beberapa selamat dan kesejahteraannya.
Ampun Tuanku,
Sembah patik mohon diampun
Ehwal adalah patik pacal Tuanku dengan penuh hormat dan takzimnya merafakkan sembah maklum bahawa, patik persembahkan utusan memorandum kepada KeBawah Duli Tuanku.
1. Pilihan Raya Umum ke – 13 (PRU13) yang digelar sebagai ‘ibu segala pilihanraya’ (mother of all elections) bakal menjadi penanda aras terhadap tahap kematangan sistem demokrasi di Malaysia. Cadangan pelaksanaan konsep kerajaan sementara (caretaker government) yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dan bakal dikemukakan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam masa terdekat adalah sangat bertepatan dan wajib dilaksanakan oleh pihak kerajaan, bagi menjamin pilihanraya yang bakal berlangsung, berjalan secara adil dan aman.
2. Patik sekalian berpendapat, konsep kerajaan sementara (caretaker government), atau lebih tepat diterjemahkan sebagai ‘kerajaan pemegang amanah’, adalah sebuah kerajaan yang mengambil alih peranan kerajaan yang memerintah (incumbent government) secara sementara, bermula daripada tempoh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan sepanjang tempoh kempen pilihanraya, berakhir dengan tempoh kerajaan negeri baru terbentuk (new government), dengan memenuhi kriteria tidak-berpihak (neutral), bebas-politik (apolitical) dan berwibawa (competent).
3. Prinsip ini adalah bertepatan dengan prinsip kepemimpinan (siyadah) dalam Islam yang menekankan ketinggian nilai integriti dan amanah dalam proses perlantikan pemimpin dan peralihan sesebuah kuasa, berpaksikan kepada pengiktirafan terhadap hak ahli mesyuarat dan rakyat dalam membuat keputusan melantik pemimpin secara adil dan telus. Rasional untuk melaksanakan konsep kerajaan pemegang amanah (caretaker government) ini adalah bagi menghormati prinsip peluang samarata (level playing field) bagi semua pihak yang berpatisipasi dalam proses pilihanraya dan prinsip kelangsungan perkhidmatan kerajaan (life goes on) dalam menjaga kepentingan awam, di samping prinsip pemisahan kuasa (separation of power) di antara entiti kerajaan dan parti politik.
4. Memandangkan konsep ini tidak pernah dilaksanakan secara komprehensif di Perak khususnya dan di Malaysia amnya, pihak kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri wajar mengambil model kejayaan sistem kerajaan sementara (caretaker government) di beberapa negara Komenwel seperti di Australia dan Bangladesh untuk dilaksanakan dalam tempoh PRU13 ini. Antara amalan terbaik yang wajar dicontohi untuk dijadikan kod etika sepanjang tempoh tersebut adalah dengan penekanan terhadap tanggungjawab halangan (negative obligation) sepanjang tempoh kempen pilihanraya, antaranya tiada penggubalan dasar dan keputusan besar, tiada perlantikan jawatan utama, tiada kelulusan tender dan kontrak besar, dan yang paling utama, tiada penyalahgunaan kewangan, jentera dan media ataupun 3M (Money, Machinery, Media) oleh pihak kerajaan memerintah (incumbent government).
5. Bagi memperincikan konsep kerajaan pemegang amanah ini, patik sekalian telah menjalankan kajian yang diselia oleh Akademi Kepimpinan Pemuda PAS Perak (AKP), dengan mengambil kira pandangan ahli akademik dan pengamal undang-undang serta konsultasi awam bersama beberapa NGO-NGO, untuk menerbitkan nota cadangan ke arah pelaksanaannya. Dokumen polisi tersebut bertujuan untuk mengemukakan syor dan kaedah terbaik pelaksanaan di peringkat kerajaan Persekutuan dan Negeri, khususnya dalam aspek siapa (who) dan bagaimana (how) dalam konteks pengamatan terhadap ruang dan implikasi undang-undang bagi menjunjung prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan di Malaysia.
6. Patik sekalian menjangkakan pilihanraya kali ini bakal dicemari oleh pihak UMNO / Barisan Nasional (BN) yang terdesak untuk mempertahankan kuasa dan survival politik demi kepentingan peribadi dan periuk nasi mereka, di samping tidak menolak kemungkinan situasi DUN tergantung (hung assembly) dalam PRU13 ini, iaitu kebarangkalian keputusan pilihanraya yang tidak memihak kepada pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang untuk mendapat mandat membentuk sebuah kerajaan secara mutlak. Seluruh rakyat Perak menolak sebarang taktik kotor dan jahat, sepanjang tempoh kempen sehinggalah kepada pembentukan kerajaan pasca PRU13.
7. Patik sekalian sentiasa komited untuk berpatisipasi dalam proses pilihanraya secara berakhlak dan berstrategi, menghormati etika dan prinsip undang-undang, mengiktiraf hak rakyat untuk memilih secara bijak, dan menghormati sebarang keputusan yang dibuat oleh rakyat. Sejarah telah menjadi saksi terhadap keikhlasan PAS.
8. Oleh demikian, patik sekalian bersedia untuk mengemukakan kertas konsep kerajaan sementara ini kepada KeBawah Duli Tuanku bagi memastikan kejayaannya.
Demikianlah sahaja yang patik dapat zahirkan dalam warkah memohon mengutus memorandum yang tidak sepertinya ini. Patik mohon akhiri kalam dengan sembah salam takzim jua adanya.
Wabillahi taufik walhidayah
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Adalah patik berdatang sembah dengan segala hormat dan penuh takzimnya.
DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Koordinator,
Jawatankuasa Isu dan Strategik,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.