TEMERLOH: Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr Hamzah Jaafar mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mempercayai dan memberi perhatian kepada berita di media cetak dan eletronik sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
Ini kerana media berkenaan adalah media propaganda yang bekerja untuk Barisan Nasional (BN) .
Media yang dimaksudkan ialah media milik kerajaan seperti RTM dan swasta seperti Media Prima dan Astro serta Bernama TV.
Katanya, berita yang disajikan oleh media berkenaan adalah berbentuk propaganda dan yang dikendalikan oleh pasukan geraf saraf BN.
Menurutnya, rakyat biasa wajar menolak media berkenaan yang bertopengkan media bebas tetapi sebenarnya dikuasai oleh BN sepenuhnya.
“Rakyat wajar menolak dan tidak memperdulikan berita propaganda berkenaan ini untuk tempoh kempen pilihan raya kerana selepas itu ia akan kembali seperti biasa,” katanya.
Kegagalan media berkenaan memberi ruang kepada Pakatan Rakyat membentangkan manifesto pilihan raya secara munasabah menunjukkan mereka memihak kepada BN.
“Masa sepuluh minit yang diberi oleh RTM untuk Pakatan Rakyat membentangkan manifesto dalam bentuk rakaman membuktikan media berkenaan adalah milik BN,” katanya.
Hamzah yang juga Yang Dipetua PAS Jerantut, berkata peluang PAS khususnya di Jerantut adalah cerah.
“Kita akan pastikan PAS dan Pakatan Rakyat menang semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di Jerantut,” Katanya.
Katanya, mood rakyat inginkan perubahan sememangnya cukup kuat terutama dikalangan pengundi muda.
Dalam pilihan raya umum 2008, BN menang dengan majoriti 1,946 apabila calonya Dato’ Tengku Azlan Ibni Sultan Abu Bakar memperolehi 19,543 manakala calon PAS Dr Hamzah Jaafar memperolehi 17,597 undi.