Pengambilan tanah secara besar-besaran kononnya atas nama pembangunan merupakan isu kritikal yang menyakitkan hati rakyat Johor, kata Naib Pengerusi KEADILAN Johor, Hasan Karim.
Katanya dua projek besar iaitu pembinaan Link Kedua (Second Link) di Gelang Patah dan Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Pengerang dianggap penduduk Johor sebagai rampasan tanah besar-besaran oleh kerajaan BN.
“Rapid hanya memerlukan 6,242 ekar, tetapi tanah yang diambil seluas 22,500 ekar. Ini rampasan tanah.
“Begitu juga dengan Second Link. Keperluan tanah tidaklah sebesar mana, tetapi mengapa sehingga 33,000 ekar tanah diambil?, kata Hasan dalam ‘Forum PRU-13, Apa Orang Johor Mahu di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor malam tadi.
Hasan merupakan peguam penduduk Pengerang yang memfailkan perintah mahkamah bagi menangguhkan pengambilan tanah memaklumkan, 3,000 kubur orang Tionghua dan 11,000 kubur orang Islam terpaksa dipindahkan semata-mata untuk memberi laluan kepada projek Rapid.
Kata Hasan, kerajaan negeri memanipulasi Akta Pengambilan Tanah yang membenarkan pengambilan tanah atas nama pembangunan.
Katanya, tanah yang asalnya milik penduduk kampung itu kemudiannya dijual murah sebagai bank tanah kepada pemaju UEM Land dan institusi kewangan seperti CIMB dan Maybank.
“Kerajaan Johor boleh ambil tanah bukan sahaja untuk kerajaan negeri, tetapi boleh diberi kepada syarikat dan individu sekiranya projek itu dikatakan membawa pembangunan.
“Tetapi, apa faedah kepada orang di Gelang Patah dan di Pengerang? Tidak ada,” tegasnya.
Hasan berkata, pampasan tanah oleh kerajaan sangat murah, serendah RM2 sekaki persegi dengan harga rizab pertanian tanpa mengambilkira potensi dan nilai tanah pada masa akan datang.
“Sepatutnya, penduduk tempatan mempunyai ekuiti (pegangan saham) dalam pembangunan. Tapi ia tak berlaku. Penduduk hanya mampu melihat bangunan-bangunan dan premis mewah dan mahal.
“Sewajarnya, sebuah kerajaan yang prihatin mesti bersikap pro-rakyat,” katanya.