Seorang pengundi membuat enam laporan polis agar siasatan segera dilakukan berhubung keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang digazetkan pada 22 Mei lalu berbeza dengan apa yang diumum pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui borang 16 pada 5 Mei lalu.
Borang 16 ialah Borang Pengisytiharan Keputusan pilihanraya daripada 222 kawasan Parlimen dan 505 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan di seluruh negara.
Pengadu, Mohd Azlan Mohd Sharif yang juga pengundi bagi kerusi Parlimen Muar DUN Sungai Balang pada PRU lalu membuat semua laporan itu di balai polis Klang pada 30 Mei lalu.
Enam laporan itu melibatkan kehilangan kertas undi, salah kira undi, maklumat yang sudah berubah, perbezaan kertas undi yang dikeluar di parlimen dan dun, maklumat bagi kerusi parlimen dan dun adalah berbeza sebelum dan selepas diwartakan dan kecuaian anggota polis.
Beliau juga mendapati sebanyak 53,045 kertas undi hilang pada PRU lalu melibatkan semua kerusi Parlimen dan DUN seluruh negara kecuali DUN Sungai Acheh, Pulau Pinang, DUN Banggi,
Sabah dan DUN Labuk, Sabah.
“Saya tidak nampak, tidak tahu, tidak terdengar, tidak terbaca apa-apa berita mengatakan ada tangkapan oleh SPR atau polis terhadap mana-mana pihak yang membawa keluar atau
menghilangkan kertas undi yang telah dikeluarkan.
“Oleh kerana ia satu kesalahan jenayah mengikut seksyen 3(1) (h) dan seksyen 6 (2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, maka jelas polis dan SPR yang bertugas pada hari, masa dan tempat mengundi bersubahat, membenarkan dan atau melakukan jenayah ini,” katanya dipetik dalam laporan polisnya yang pertama.
Kesannya kata beliau, kemenangan kemenangan semua calon bagi setiap kerusi itu pada PRU lalu adalah tidak sah terbatal sehingga kertas undi itu disemak dan disahkan semula.
“Tujuan enam laporan dibuat agar pihak berkuasa termasuk polis menyiasatnya. Sebagai rakyat Malaysia saya menjunjung semangat Perlembagaan dan Rukun Negara khususnya Keluhuran dan Kedaulatan Undang-undang,” katanya kepada Suara Keadilan.
Sementara itu, dalam laporan polisnya yang keenam, beliau mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil tindakan tegas terhadap pegawainya yang cuai menjalankan
tugas sempena PRU lalu.
“Saya minta KPN menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang bertugas pada masa itu disebabkan terbukti cuai, tidak amanah, tidak melaksanakan tanggungjawabnya dan membenarkan jenayah berlaku didepan matanya,” katanya lagi.