Petisyen penipuan PRU 13 sepatutnya difail ke atas 641 kerusi di seluruh negara, kata seorang pengundi yang membuat lapan laporan polis terhadap SPR.
Pengadu, Mohd Azlan Mohd Sharif berkata, ia ekoran keputusan PRU yang diwartakan sebanyak dua kali pada 22 dan 31 Mei lalu bercanggah dengan borang 16 sebagaimana diumum Pegawai Pengurus SPR pada 5 Mei lalu.
“Dalam kajian saya, 641 kerusi wajar dipetisyenkan kerana terdapat perbezaan maklumat antara sebelum dan selepas diwartakan corrigendum pembetulan. Sehingga kini SPR tidak pernah menafikan dakwaan atau menjawab surat saya kepada pengerusi SPR bertarikh 7 Jun 2013 .
“Surat itu bertajuk: ‘Kebanyakkan Maklumat Dalam Warta Keputusan PRU 13 (22 Mei 2013) dan Corrigendum Keputusan PPR 13 (31 Mei 2013) Berbeza Dengan Pengumuman oleh Pegawai Pengurus’ (mengikut BORANG 16-Borang Keputusan Pertandingan) pada 5 Mei 2013,” katanya dalam satu kenyataan.
Borang 16 ialah borang Pengisytiharan Keputusan pilihanraya daripada 222 kawasan Parlimen dan 505 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan di seluruh negara pada PRU lalu.
“Borang 16 pada 5 Mei 2013 sepatutnya konsisten pada warta 22 atau 31 Mei,” katanya
Beliau turut mendesak SPR membuat tarikh baru berhubung tempoh petisyen ekoran tindakan badan itu mengubah pewartaan pilihan raya dari 22 kepada 31 Mei 2013. Katanya, tempoh 21 hari perlu dipanjangkan dari 31 Mei 2013 – sehari selepas beliau membuat enam laporan polis hingga 21 Jun 2013 – bagi memberi keadilan kepada pihak yang ingin memfail petisyen.