Kenyataan Media:
a] Sempena menghadapi muktamar PAS ini, saya mahu memberikan peringatan buat diri saya sendiri dan semua rakan – rakan seperjuangan agar menginsafi bahawa jawatan adalah amanah kepimpinan yang sangat besar dan berat. Justeru itu janganlah kita termasuk dikalangan orang yang meminta – minta jawatan apatah lagi menagih simpati agar jawatan itu diserahkan kepada kita.
Sabda Rasulullah saw :
عَنْ عَبْدُ الْرَحْمَنِ بْنِ سَمُرَةِ رضي الله عنه أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَي اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُوْلُ : يَا عَبْدَالْرَحْمَنِ بْنِ سَمُرَةَ ! لاَ تَسْأَلِ الْإِمَارَةَ , فَإِنَّكَ إِنْ أُوْتِيْتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ وُكِلَتْ إِلَيْهَا وَإِنْ أُوْتِيْتَهَا مِنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ إِلَيْهَا
“Daripada Abdul Rahman bin Samurah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda kepadanya :”Wahai Abdul Rahman bin Samurah Jangan engkau meminta jawatan pemimpin . Sebab jika ia diserahkan kepadamu kerana permintaanmu maka ia akan diserahkan bulat –bulat kepadamu. Sebaliknya jika ia diserahkan kepadamu tanpa permintaanmu maka engkau akan diberikan pertolongan dalam melaksanakan tugasmu .
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
b] Bersedia menerima pencalonan lalu menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk memilih dan kemudiannya meneruskan komitmen perjuangan seperti biasa tanpa kempen bersungguh – sungguh atau agerasif supaya dirinya dipilih [ sedang persaingan itu hanya sesama sahabat seperjuangan ] adalah satu sikap yang dibina atas semangat Fastabiqul Khairat iaitu berlumba – lumba mahu memberi sumbangan dan kebaikan kepada perjuangan Islam yang didokong oleh jamaah ini.
c] Ia sangat berbeza dengan sikap yang meminta – minta jawatan pula menagih simpati dengan pelbagai tindakan dan gerak saraf agar dirinya sendiri dipilih untuk menyandang jawatan itu.
Sabda Rasulullah saw :
إنَا وَاللهِ لاَ نُوَلَّي أَحَدًا طَلَبَهُ اَوْ حَرص عَلَيْهِ
” Sesungguhnya demi Allah kami tidak memberi jawatan menjadi pemimpin, seorang yang memintanya atau terlalu berkeinginan memegangnya.”
Muttafaqun Alaih
d] Sangat berbeza jika kita menyertai persaingan antara pemimpin yang hak dan bathil. Tentunya kita dibenarkan malah diwajibkan oleh syara’ supaya kita berkempen habis – habisan untuk memenangkan yang Hak mengatasi kebathilan.
e] Sementara persaingan sesama sahabat seperjuangan ini, ia dibina atas semangat Fastabiqul khairat untuk mencari yang terbaik dari kalangan yang baik. Justeru itu, usahlah keterlaluan dalam kata – kata dan tindakan untuk mencari undi dan sokongan buat diri sendiri. Bersainglah secara sihat dan damai.
f] Lebih manis dan wajar, biarlah pihak lain mengangkat kita sebagai pemimpin. Jika kita layak dan menepati piawaian kepimpinan yang dikehendaki oleh jamaah dan anggotanya, maka kita insyaallah dipilih oleh mereka dan mereka bakal membantu kita. Malah Allah swt akan memberkati dan memudahkan urusan kita.
g] Kesediaan kita menerima pencalonan sudah cukup untuk perwakilan menilai. Terpulanglah kepada sahabat seperjuangan dan anggota jamaah menilai keupayaan dan performance kita. Bukan kita sendiri ke hulu dan kehilir berkempen “pilihlah saya” , menagih dan meminta – minta agar jawatan itu diserahkan kepada kita.
h] Lebih sadis jika pendekatan yang diambil adalah memburukkan sahabat seperjuangan yang lain. Menjatuhkan maruah dan membunuh karektornya. Ini bukan cara Islam malah bertentangan dengan pedoman Islam.
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia