Tindakan kerajaan BN yang berkeras mahu terus mempertimbangkan pembinaan loji nuklear menjana tenaga elektrik yang pertama di Malaysia pada 2021 terus dikecam oleh pelbagai pihak.
Terbaharu Parti Sosialis Malaysia melalui jawatankuasa alam sekitarnya menggesa kerajaan memansuhkan sepenuhnya cadangan untuk membina loji nuklear dan tidak perlu berdolak-dalih dengan melantik syarikat perunding untuk mencari jalan terbaik meneruskan pembinaan loji berkenaan.
“PSM berpendapat tindakan kerajaan ingin meneruskan penggunaan tenaga nuklear adalah satu perkara yang tidak bertanggungjawab.
“Loji tenaga nuklear tidak pernah menjanjikan jaminan keselamatan menyeluruh. Negara Jerman yang telah maju sekali pun sedang cuba menjauhkan diri mereka dari menggunakan tenaga nuklear. Jerman menutup 7 daripada 17 loji tenaga nuklear mereka sedangkan Malaysia pula ingin membina dua buah loji pada 2021
“Risiko loji janakuasa nuklear telah kita lihat di Jepun. Akibat gempa bumi, negara yang amat maju teknologinya itu kini sedang berperang dengan kebocoran radiasi di loji nuklear Fukushima Daiichi. Adakah kita ingin menghadapi keadaan yang serupa,” kata koordinator jawatankuasa alam sekitar PSM Kalai Joethi Sahadevan.
Menurut Kalai , situasi yang berlaku di Jepun amat kritikal berbanding dengan kebocoran loji nuklear di Amerka Syarikat pada 1979. Pemerhati tenaga nuclear dari Peranchis mengkategorikan situasi di Jepun berada pada tahap 6 dan ia hanya satu mata di bawah tahap 7, bencana kebocoran radioaktif di Chernobyl Russia, iaitu bencara yang paling buruk di dunia.
“Sekiranya Malaysia membina loji nuklear, perlu diingat sisa radioaktif yang akan ditinggalkan selepas proses penjanaan tenaga elektrik akan mengambil masa 100,000 tahun untuk dilupuskan. Bermakna seribu generasi perlu menjaga bahan sisa radioaktif ini. Tentulah kosnya amat mahal
“Oleh yang demikian PSM mendesak kerajaan melabur dalam teknologi hijau yang mesra alam seperti kuasa solar, ombak atau kincir angin bagi menjana tenaga elektrik. Malaysia mempunyai simpanan tenaga semulajadi yang banyak dari sumber alam. Persoalannya, mengapa kita perlu mendapatkan sumber tenaga yang berisiko tinggi pada ketika penyelesaian yang lebih baik masih boleh diperolehi dengan mudah? Kami mendesak kerajaan membatalkan cita-cita membina janakuasa tenaga nuklear dan segera bertukar kepada sumber tenaga yang mesra alam,” ujarnya.