Banjir yang melanda negeri pantai timur Disember lepas dan meninggalkan lebih 200,000 penduduk tanpa rumah bukan lagi tajuk utama berita, tetapi mangsa banjir masih menjadi tumpuan sekumpulan pegawai perubatan yang menjangkau usaha pemulihan dengan membekalkan bantuan ubat, kepada membina rumah bagi mereka terjejas.
Doktor-doktor yang menubuhkan IMAM Response and Relief Team (IMARET) nekad membantu mangsa banjir di Kelantan untuk membina semula kehidupan mereka, dan memulakan fasa digelar fasa bina semula.
Mereka memikul tugas yang berat kerana kebanyakan mangsa banjir lebih memerlukan rumah selepas kediaman mereka dihanyutkan air atau rosak.
“Pemulihan adalah apabila kami membekalkan keperluan asas seperti pakaian dan tilam, dan pemulihan kesihatan pula lebih tertumpu kepada penyakit yang timbul akibat tragedi tersebut.
“Apa yang kami hadapi di Kelantan kini adalah pemulihan; kami lihat banyak rumah yang rosak habis atau sebahagiannya rosak dan memerlukan pembaikan.
Pada mulanya usaha pemulihan Imaret tertumpu kepada membekalkan keperluan asas dan pemulihan kesihatan berkaitan penyakit yang merebak.
“Dalam fasa ini, selain daripada membekalkan perubatan, pasukan kami juga membuat tinjauan dan memantau kawasan yang rosak bersama penduduk tempatan, kami mengenal pasti di mana terdapatnya rumah yang rosak dan keluarga yang mana memerlukan rumah yang baru,” katanya.
Dengan maklumat ini, IMARET membuat keputusan memulakan projek pertama mereka yang dipanggil ‘Project House Relief’ yang melibatkan membina semula 5 rumah di kawasan yang terjejas, kata Dr Asyikin dan menambah projek tersebut dimulakan dengan pembinaan rumah pertama di Dabong, salah satu kawasan terjejas teruk di Kelantan.
Projek tersebut juga dengan kerjasama dengan Epic Homes, satu perusahaan sosial yang sebelum ini menumpukan sumber mereka untuk membina rumah bagi Orang Asli.
“Kami bekerjasama dengan Epic Homes dan individu lain. Kami berbincang dan mendapat tahu yang kami perlukan platform untuk merancang dan bekerjasama, kerana kami tidak boleh lakukannya sendiri. Kami bukannya jurutera atau arkitek.
“Projek ini satu platform terbuka, di mana sumbangan dan kerjasama boleh dilakukan NGO atau individu, dan kami akan lihat sama ada ini boleh dikembangkan lagi pada masa hadapan,” katanya.
Rumah yang pertama disiapkan pada bulan Mac oleh 52 sukarelawan dan 5 lagi rumah akan dibina bulan ini.
Mereka yang berminat memberi sumbangan kepada projek ini boleh melayari laman sesawang www.projecthouserelief.com di mana maklumat tentang perkampungan yang memerlukan pertolongan dimuat naik.
“Kami ingin jadikan ini platform terbuka untuk membolehkan semua orang memberi sumbangan. Contohnya, anda di kampung C, dan kami (IMARET) belum ke sana lagi, tetapi anda mempunyai maklumat.
“Anda hanya perlu memuat naikkan maklumat penting kepada kami untuk tujuan mengenal pasti, perhubungan dan kerjasama,” kata Dr Asyikin.
“Kami juga ada pilihan di mana anda boleh memilih kampung, fail dalam data profil, dan sebagai orang bertanggungjawab – anda boleh melancarkan kutipan dana untuk projek dan platform tersebut akan memaparkan berapa jumlah wang yang diperlukan.”
“Selepas mencapai sasaran anda, anda boleh bekerjasama dengan pihak kami untuk menyelaraskan sukarelawan untuk membina rumah,” katanya dan menambah platform tersebut membolehkan mereka menghubungi lebih ramai orang.
Objektif projek tersebut, kata Dr Asyikin, adalah untuk membina kediaman tetap kerana rumah yang dibina direka sebagai kalis-banjir untuk langkah pencegahan sekiranya banjir berlaku lagi.
“Bukannya ia langsung tidak akan rosak 100%, tetapi rangka dan asasnya boleh menahan tekanan kuat daripada banjir.”
Menggambarkan (projek pertama) tersebut sebagai model Versi Satu, Dr Asyikin berkata mereka berharap untuk mendapatkan maklum balas daripada umum supaya rekaan dapat diubahsuai dan diperbaiki lagi.
Beliau menambah yang IMARET dan Epic Homes mengumpul data dan maklumat tentang keluarga yang terjejas dengan bertemu setiap satu daripada mereka, menemu ramah, menapis dan memberi keutamaan kepada keluarga yang lebih memerlukan.
Beliau berkata, penerima rumah pertama adalah untuk keluarga 6 orang. Pasangan tersebut mempunyai 3 anak, seorang dengan kecacatan dan seorang warga emas. Isterinya juga hamil.
“Kami memilih keluarga ini berdasarkan pemantauan kami selepas bekerjasama dengan penduduk kampung untuk mengenal pasti siapa yang patut didahulukan.”
Dr Asyikin kemudian menerangkan tentang fasa ketiga usaha selepas banjir IMARET: mengendalikan masalah sosial dan kesihatan antara mangsa banjir.
Kebersihan yang baik, katanya, amat penting kerana dalam situasi sebegitu, tandas selalunya dikongsi banyak keluarga dan ini boleh membawa kepada masalah kesihatan.
“Senang bagi penyakit untuk merebak, isu sosial akan timbul dan kita tidak mahu itu berlaku.”
Beliau berkata selain daripada aspek fizikalnya, mangsa juga mengalami trauma psikologi akibat banjir itu.
“Jadi yang dibina bukan sahaja sebuah rumah. Ia merupakan simbol harapan. Jika anda beri mereka ruang untuk memulakan hidup sekali lagi, anda bukan sahaja memberi mereka tempat berteduh, anda membantu memulihkan maruah dan memberi semangat untuk membina semula hidup mereka,” tambahnya.
Menurut Dr Asyikin, sejak pelancaran rasminya pada 19 Disember tahun lepas, IMARET sudah menghantar 30 misi ke Kelantan.
Kumpulan tersebut juga terlibat dalam usaha pemulihan di Terengganu, Pahang dan Perak, dengan 18 misi yang diterajui semasa kecemasan banjir sedang berlaku.
Sementara itu, Koordinator Klinikal IMARET Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim yang terlibat dalam misi ‘turun padang’ menambah penyelarasan merupakan isu utama yang timbul semasa bencana tahun lepas kerana ramai ingin membantu tetapi tiada keselarasan antara pihak-pihak yang terlibat.
“Isu paling penting yang perlu diselesaikan adalah penyelarasan, kerana ramai individu dan NGO ingin membantu, namun tanpa keselarasan ia hanya akan menjadikan penghantaran bantuan lebih sukar.
“Semua ingin membantu tetapi kami tidak bersedia dan tidak mempunyai apa-apa keselarasan.”
Beliau berkata pada Februari, satu gabungan NGO, “Bantuan Bencana NGO” (BBNGO) bertemu dan membincangkan beberapa isu. Salah satu isu yang dibincangkan adalah penyelarasan dan penghantaran lancar bantuan dengan cepat.
“Kami bersetuju untuk membina platform untuk mengelak bertindih dan ulangan apa yang sudah pun dilakukan di kawasan terlibat.”
“Tiada perlumbaan antara NGO seperti kami, tugasan kami adalah untuk melengkapi usaha kerajaan serta saling melengkapkan sesama sendiri.”
Beliau berkata, antara kesusahan yang dihadapi semasa jangka kecemasan adalah dinamik banjir, kerana ia boleh berubah setiap jam, menjadikan situasi tidak boleh dijangka, dan ia memerlukan usaha berat dalam menghantar bantuan, terutamanya di kawasan yang terpencil.
“Keparahan banjir itu tidak dijangka, dan orang ramai tidak bersedia menghadapinya walaupun banjir adalah bencana yang berlaku setiap tahun.”
Beliau berkata IMARET yang mempunyai lebih dari 100 sukarelawan, pernah menghantar 27 doktor dalam satu misi.
Dr Ahmad berkata secara puratanya, satu pasukan boleh merawat antara 50 hingga 150 pesakit dalam sehari semasa fasa kecemasan.
“Satu pasukan boleh merawat lebih dari 100 pesakit dalam sehari. Terdapat pelbagai pemeriksaan kesihatan dibekalkan, klinik tetap dan bergerak; pada permulaannya kami mempunyai klinik statik di pusat pemindahan, jadi dalam puratanya satu pasukan merawat 50 hingga 150 pesakit dalam sehari.”
IMARET yang terdiri daripada pegawai perubatan dan pakar dari pelbagai disiplin perubatan seperti psikiatri dan perubatan kecemasan, juga sedang meneruskan misi perubatannya melalui klinik statik dan bergerak, serta lawatan rumah untuk pemeriksaan kesihatan.