Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata, cadangan penjualan semula tanah Tun Razak Exchange sebagaimana yang didakwa Lembaga Tabung Haji bukanlah jaminan bahawa imej badan itu dapat dipulihkan semula.
Walaupun cadangan itu dikemukakan, namun beliau tidak menolak kemungkinan bahawa aliran kewangan untuk menyelamatkan syarikat milik kerajaan 1MDB itu tetap akan berlaku berikutan kebergantungan hutang-hutang dan faedah yang terpaksa ditanggung 1MDB ketika ini.
“Walaupun Tabung Haji mendakwa mereka akan menjual semula tanah-tanah itu, tapi kita percaya aliran kewangan itu masih wujud untuk ‘bail-out’ 1MDB yang kini dibelenggu hutang-hutangnya.
“Mengambil contoh, 1MDB sekarang ini mempunyai hutang sebanyak RM42 bilion, ditambah lagi dengan RM2 bilion yang didakwa dipinjam daripada Ananda Krishnan sebelum ini, kita lihat keadaan ini sebagai langkah terdesak 1MDB untuk selesaikan hutang-hutang itu.
“Malah, aliran RM188.5 juta itu pun hanyalah nilai 5 peratus daripada jumlah tahunan sekitar RM2.24 bilion yang bersamaan dengan kadar faedah untuk sebulan sahaja sebenarnya,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Katanya lagi, beliau percaya, kerajaan akan menggunakan pendekatan yang hampir sama membabitkan beberapa syarikat lain untuk menyelamatkan 1MDB.
“Dari awal lagi kita maklumkan bahawa memang Tabung Haji digunakan untuk bail-out 1MDB dan bila perkara ini didedahkan, tentu kerajaan akan cari pendekatan yang hampir sama untuk selamatkan syarikat itu,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau turut merujuk kenyataan Perdana Menteri, Najib Razak sebelum ini yang mendakwa kononnya pendeposit Tabung Haji akan mengalami kerugian sekiranya Tabung Haji menjual semula tanah-tanah yang dibeli daripada 1MDB,Tun Razak Exchange (TRX).
“Apa sebenarnya yang mereka nak buat? Kerajaan jangan cakap tidak serupa bikin saja. Sebab itu kita tegaskan dari awal lagi supaya duit rakyat ini tidak digunakan untuk selamatkan syarikat kerajaan yang rugi itu,” tegasnya.