Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengesahkan ‘perceraian’ ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat hari ini dengan ungkapan ‘bercerai tapi masih berkawan’. Beliau juga membayangkan harapan untuk wujudnya satu pakatan baharu pada masa depan dengan ungkapan tidak mustahil berkahwin semula dengan salah satu komponen PR.
Penyokong PR tidak perlu merasa hampa dengan keputusan untuk mengakhiri perkahwinan ini. Konsep politik berkahwin dan bercerai tetapi kekal berkawan ini tidak asing di negara maju Barat. Di Eropah hampir mustahil parti-parti politik membentuk kerajaan tanpa bergabung dengan parti-parti kecil.
Biasanya, parti yang dominan hanya menang sehingga 40 peratus undi popular dan tidak cukup mendapat majoriti mudah di parlimen. Mereka akan mengambil parti-parti kecil lain sebagai sekutu dalam membentuk kerajaan.
Gabungan longgar
Parti-parti kecil diletakkan dalam gabungan longgar yang tidak mempunyai model seperti BN dan PR di negara ini. Parti kecil bebas untuk berbeza pandangan dengan parti dominan asalkan tidak menarik sokongan daripada kerajaan.
Apabila penggal pemerintahan berakhir maka parti dominan dan parti-parti kecil itu ‘bercerai’ buat sementara waktu. Selepas keputusan pilihan raya keluar maka parti dominan yang mungkin bukan parti sama pada penggal lalu akan mencari parti-parti kecil yang mungkin juga bukan parti sama pada penggal lalu untuk membentuk kerajaan.
Inilah yang diamalkan selama berpuluh-puluh tahun di negara Eropah seperti Jerman, Itali, Belanda, Belgium dan lain-lain. Hujah BN bahawa kerajaan seperti itu tidak stabil dan merisikokan rakyat adalah mengarut.
Eropah jauh lebih kaya daripada Malaysia. Malah kebanyakan negara yang mengamalkan sistem politik seperti itu tidak berhutang dan meminta sedekah kepada dana-dana antarabangsa seperti Malaysia. Konsep ‘bercerai tapi berkawan’ itu adalah lambang kestabilan dan kematangan politik negara-negara maju dan kaya.
Dengan dinamis politik sedemikian rakyat lebih bebas memilih. Tidak terikat dengan ‘hantu’ yang ditanam BN sekiranya ingin maju maka perlu mengundi satu parti sehingga dunia kiamat. Di Eropah rakyat bebas untuk membuang parti besar dan memberikan kuasa kepada gabungan parti kecil sekiranya mereka mendapati parti besar telah menyelewengkan kepercayaan rakyat.
Politik Malaysia baru perlu menerima konsep yang lebih maju. Parti besar berakhir dengan polisi menzalimi rakyat. Demi kestabilan kaum dan sebagainya mereka memeras cukai dan menipu dana awam. Sudah tiba masanya politik diletakkan di tempat yang betul dan tidak dijadikan alasan kepada ketidak stabilan negara.
Kerajaan negeri kekal
Pentadbir negara seumpama pengurusan syarikat yang boleh ditukar ganti. Hanya BN yang menyamakan politik dengan hidup-mati Melayu, seolah-oleh mereka Tuhan. Penyingkiran BN maka akan mencetuskan huru-hara yang maha dahsyat. PR sepanjang 7 tahun memerintah telah membuktikan tidak berlaku huru-hara di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang.
Di peringkat negeri, kerajaan Pulau Pinang dan Selangor akan terus bertahan sehingga penghujung penggal selagi mana parti-parti yang membentuk kerajaan negeri tidak mengarahkan Adun-Adun mereka menarik balik sokongan.
Dan perkara itu jelas. DAP melalui Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng menyokong Azmin Ali di Selangor dan PAS juga menyokong Azmin. Di Pulau Pinang PKR menyokong DAP. Majoriti di DUN dikekalkan dan kerajaan akan berjalan seperti biasa.
Segalanya mungkin berubah selepas Aidilfitri. Pakatan baharu akan terbentuk. Meski pun pakatan baharu mungkin tidak membawa PAS turut serta dan digantikan dengan parti serpihan PAS tetapi konsep ‘bercerai tapi berkawan’ kekal digunakan di Selangor sehingga ke penghujung penggal.