KENYATAAN MEDIA: Pemuda Parti Amanah Negara (AMAN) Negeri Perak merakamkan ucapan takziah kepada keluarga di atas pemergian Muhammad Lutfan Amar Abdulfattah semalam di Hospital Taiping, Perak. Kami melahirkan rasa simpati di atas penderitaan adik Lutfan yang menghidap penyakit kronik iaitu masalah saluran pernafasan sempit.
2. AMAN Perak sangat memahami kesusahan yang dialami ibu Lutfan, Nur Atikah Mohamad Ideris dan keluarga dalam usaha mendapatkan kewangan bagi menampung kos pembedahan segera anaknya itu yang mencecah hampir RM35 ribu.
3. Pihak kami menyedari, selain Almarhum adik Lutfan, terdapat ramai lagi rakyat di luar sana yang menghidap penyakit kritikal yang memerlukan kepada rawatan segera. Namun hasrat untuk mendapatkan rawatan terhalang disebabkan oleh ketidakmampuan untuk menjalani pembedahan atau rawatan di hospital akibat daripada kos perubatan yang tinggi dan mahal.
4. Sebagai jalan keluar kepada penderitaan tersebut, ramai di kalangan mereka terpaksa memohon bantuan ihsan daripada masyarakat agar dapat menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka untuk menjalani rawatan di hospital.
5. Di samping bantuan yang dihulurkan oleh masyarakat, AMAN Perak berpandangan bahawa pesakit-pesakit seumpama ini wajar dibantu dan diambil perhatian serius oleh pihak kerajaan.
6. AMAN Perak juga berpandangan bahawa institusi kerajaan khususnya zakat Perak perlu memainkan peranan yang lebih efektif dan prihatin terhadap keperluan pesakit-pesakit seumpama ini yang memerlukan bantuan kewangan untuk menampung kos rawatan dan pembedahan yang tinggi kerana kami percaya bahawa kesihatan dan nyawa seseorang adalah termasuk di dalam lima perkara dhoruri yang perlu dipelihara oleh Islam.
7. AMAN Perak percaya bahawa pesakit-pesakit kritikal yang memerlukan bantuan kewangan seumpama ini juga layak dikategorikan sebagai sebahagian daripada asnaf yang layak diberikan bantuan zakat oleh zakat Perak di samping asnaf-asnaf yang lain.
8. AMAN Perak berharap agar Zakat Perak dapat benar-benar memahami dan memainkan peranannya dengan lebih aktif agar kewujudannya dapat dirasai oleh masyarakat sebagai platform yang benar-benar berperanan dalam membantu umat dan rakyat di negeri Perak.
9. AMAN Perak menegaskan bahawa sekiranya institut zakat ini dapat diperkasakan peranannya, kami yakin banyak permasalahan masyarakat yang beragama Islam di negeri Perak ini dapat dibela serta dikurangkan.
MOHD FITRI ASMUNI
Timbalan Ketua
Pemuda Parti Amanah Negara (AMAN)
Negeri Perak