Pakatan Harapan akan menandatangani perjanjian rasmi antara tiga parti; KEADILAN, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) pada 9 Januari ini.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perjanjian itu bagi mengikat ketiga-tiga parti sebagai sebuah gabungan politik yang mapan.
“Pakatan Harapan akan mengadakan satu Persidangan Pimpinan buat julung-julung kalinya pada 9 Januari 2016 di Pusat Persidangan SACC, Shah Alam dari jam 9 pagi yang bakal menyaksikan majlis memeterai perjanjian tersebut.
“Perjanjian akan memberi fokus kepada perkara-perkara utama yang menjadi prasyarat kepada pembinaan sebuah kesatuan politik yang mampan di antara ketiga-tiga parti,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Parlimen Dap, Lim Kit Siang dan Presiden Amanah Mohamad Sabu di ibu pejabat Amanah, pagi tadi.
Selain itu, kata Wan Azizah, Pakatan Harapan juga akan memberi tumpuan untuk membangunkan satu kerangka dasar yang jitu dan radikal ke arah mencari penyelesaian berkesan terhadap permasalahan rakyat.
“Kita akan mencari jalan penyelsaian masalah rakyat dan membina sebuah negara yang inklusif serta berdaya saing.
“Ini juga akan membentuk dokumen dasar-dasar bersama Pakatan. Dasar bersama ini bakal diumumkan di Konvesyen Pakatan Harapan yang dijangka akan diadakan menjelang Jun 2016,” jelasnya.
Dalam pada itu, menurut Dr Wan Azizah lagi, Pakatan Harapan juga telah menggariskan tujuh fasal dalam perjanjian yang akan ditandatangani.
“Antara lain adalah prinsip dan kaedah dalam menyelesaikan pertikaian antara parti, membangunkan dasar-dasar bersama dan kepatuhan kepada dasar-dasar bersama.
“Dan menguruskan perjalanan pilihan raya termasuk penentuan kerusi yang ditandingi, menguruskan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan dan blok pembangkang dan akhir sekali ialah menangani keadaan bila mana perjanjian ini dilanggari,” katanya
Justeru itu, Wan Azizah yakin bahawa pemeterian perjanjian ini merupakan kemajuan besar melambangkan kematangan politik KEADILAN, DAP dan Amanah yang berjaya mengenepikan kepentingan politik masing-masing demi mencapai persetujuan ini.
“Perkara ini telah termaktub di dalam dokumen dasar-dasar Pakatan Harapan sebelum ini termasuk kerangka dasar bersama, belanjawan Pakatan Harapan, Buku Jingga dan lain-lain.
“Ia telah diterjemahkan oleh pentadbiran kerajaan Selangor dan Pulau Pinang. Ia menguatkan lagi ketiga-tiga parti ini dengan niat dan keihkasanan kami dan akan mengotakan sebahagian harapan rakyat,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media ini antaranya Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli, Tian Chua, Nurul Izzah Anwar, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan beberapa pimpinan yang lain.