Lebih seribu penyokong tokoh reformasi Anwar Ibrahim menyambut genap setahun beliau dipenjarakan akibat fitnah II, malam tadi.
Sejak jam 8 malam lagi bahu jalan di hadapan penjara Sungai Buloh telah dibanjiri peserta.
Gerai menjual makanan ringan turut didirikan, tidak ubah seperti ceramah kempen pilihan raya.
Mencuri perhatian ramai ialah puteri sulung ketua umum PKR itu, Nurul Izzah Anwar yang cuba meniup semangat kira-kira 1,000 penyokong.
Katanya, orang ramai tidak perlu bersedih dengan pemenjaraan Anwar yang dianggap sebagai seorang tahanan politik.
“Ingat pesanan saya, jangan sedih.
“Nak sedih buat apa? Bukan kita yang rasuah. Kitalah patriot yang sebenar,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu disambut tepukan gemuruh hadirin.
Selain Nurul Izzah, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan ringkasnya menggesa orang ramai untuk meneruskan perjuangan suaminya.
“Selagi hayat dikandung badan kita teruskan perjuangan kerana inilah yang Datuk Seri Anwar mahu kita lakukan,” kata Dr Wan Azizah.
Sebelum itu, tepat 10 malam Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah melepaskan beberapa ekor burung merpati ke udara sebagai simbolik kepada gesaan mereka agar Putrajaya membebaskan Anwar.
Pada acara sama, sasterawan negara yang kini menganggotai DAP, Datuk A Samad Said turut mendeklamasikan sajak bertajuk “Puisi Lara Datuk Seri Anwar Ibrahim”.
Sebelum itu juga, aktivis pelajar Mashitah Sulaiman turut mendeklamasikan sajak berjudul “Rajawali” yang ditujukan kepada Anwar.
Hadir sama pada sambutan malam tadi daripada Amanah ialah presidennya, Mohamad Sabu, setiausaha agung, Anuar Tahir, ahli jawatankuasa pusat Dr Mohd Hatta Ramli dan Khalid Samad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan Ng Suee Lim daripada DAP turut hadir dan berucap dalam dialek Jawa.
Majlis tamat dengan bacaan doa diketuai Badrulamin dan nyanyian lagu “Negaraku”.
Pada 10 Februari, 2015 Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Anwar sekali gus menamatkan kerjayanya sebagai ketua pembangkang dan ahli Parlimen Permatang Pauh.
Mahkamah mengetepikan permohonan Anwar yang meminta hukuman lebih ringan daripada dijatuhkan Mahkamah Rayuan sebelum itu dan pada masa sama menolak permohonan pihak pendakwa yang mahu hukuman ditingkatkan.