Profesor Dr Mohd Fuad Mat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yakin PAS akan lebih kuat jika kekal bersendiri tanpa bersekutu dengan parti lain dalam blok ketiga politik, menurut Sinar Harian hari ini.
Penganalisis politik itu dilaporkan berkata, ini kerana PAS boleh kekal menjuarai Islam secara bersendirian sewaktu Umno dan Pakatan Harapan berhadapan pelbagai masalah.
“Pada tahap ini, PAS tidak perlu memikirkan untuk bergabung, sebaliknya perlu memantapkan perjuangan mereka.
“Malah, dengan pelbagai isu melanda Umno dan Pakatan Harapan sekarang, PAS menjadi parti politik alternatif pilihan rakyat,” belau dipetik berkata.
Fuad berkata, sorotan sejarah membuktikan PAS sering kali gagal apabila bergabung dengan parti lain.
“PAS kena lihat suara akar umbi, adakah mereka suka PAS bekerjasama dengan pakatan lain? Sejarah juga membuktikan PAS boleh bersendirian, namun sering gagal apabila bergabung dengan parti lain,” katanya seperti dilaporkan akhbar itu.
PAS pada 16 Mac ini dijangka mengumumkan senarai parti dalam blok ketiga yang digagaskan mereka.