Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin menempelak tindak tanduk kerajaan BN yang semakin menekan rakyat dengan pelbagai akta dan ancaman penjara sejak kebelakangan ini.
Menurut Nizar, kerajaan dilantik oleh rakyat setiap lima tahun sekali. Oleh itu, katanya, rakyat adalah majikan mereka dan tidak wajar kerajaan bertindak sesuka hati ke atas rakyat.
“Rakyatlah yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mentadbir. Justeru itu, kalau rakyat rasa kerajaan gagal mentadbir dengan baik, rakyat memang berhak mengkritik kerajaan,” katanya.
Kata ADUN Changkat Jering itu lagi, kerajaan wajib berkhidmat memberi kesenangan dan keselesaan hidup kepada rakyat dan bukannya mengenakan pelbagai tindakan ke atas pengritik.
Tindakan menyekat portal berita The Malaysian Insider, siasatan ke atas kritikan Tun Dr Mahathir di bawah Akta Hasutan, siasatan ke atas Majlis Peguam di bawah akta sama dan banyak lagi kekangan sejak kebelakangan ini menyebabkan kekhuatiran dalam kalangan pelabur asing Malaysia sedang bergerak ke arah salah dan tidak lagi mengutamakan demokrasi.
Kekhuatiran itu telah melemahkan sentimen pelabur dan mengurangkan komitmen mereka. Terbaharu, pelabur Australia diberitakan akan menarik keluar modal dari AmBank kerana tidak bersetuju dengan penggubahan wang haram yang didakwa melibatkan bank tersebut.